Thursday, 30 April 2020

Ahli Parlimen Bakal Hilang Kerusi

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke memberi amaran bahawa ahli parlimen boleh kehilangan kerusi masing-masing sekiranya mereka tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Oleh itu, ketua whip parlimen DAP itu berkata, beliau menjangkakan semua wakil rakyat akan hadir.

"Pertama, saya ingin ingatkan kepada semua ahli parlimen, terutama dari DAP dan Pakatan Harapan, bahawa mereka mesti hadir sidang Parlimen.

"Bukan hanya Parlimen mesti bersidang setiap enam bulan, tetapi ahli parlimen juga mesti hadir secara fizikal setiap enam bulan.


"Jika mereka tidak hadir sidang ini, kerusi mereka mungkin diisytihar kosong dan mungkin ada pilihan raya kecil," katanya dalam rancangan bual bicara dalam talian dengan ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Beliau secara berseloroh mengingatkan Sim, yang merupakan ahli parlimen Bukit Mertajam, supaya menghadiri sidang Parlimen itu atau akan berdepan pilihan raya kecil di kawasannya.

Persidangan 18 Mei ini diadakan untuk mengelakkan tempoh enam bulan berlalu tanpa sebarang mesyuarat, tetapi hanya akan berlangsung selama satu hari susulan penularan pandemik Covid-19.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 9 Mac lalu tetapi ini ditunda oleh kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).

Di bawah perlembagaan persekutuan, Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lalu dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.

Mesyuarat terakhir adalah pada 5 Disember tahun lalu.

Begitu juga, perlembagaan persekutuan menghendaki setiap ahli parlimen menghadiri Parlimen sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan, kecuali jika diberi kebenaran untuk tidak berbuat demikian.

Perkara 52 (1) perlembagaan persekutuan menyatakan: "Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.” - malaysiakini




Berminat beriklan di web Addin. Sila klik link di bawah..



Iklan
biomineral-penawar-penyakit-dan-masalah-kesihatan-yang-mujarab-dan-semulajadi
panduan-jana-pendapatan-tambahan-dengan-lumayan-dengan-perniagaan-sosial-social-e-commerce-di-platform-fingo




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Artikel Berkaitan