Saturday, 5 October 2019

Isu Kampung Baru Yang Masih Belum Selesai

Isu Kampung Baru Yang Masih Belum Selesai|Kurang dari 3 bulan untuk kita memasuki tahun 2020. Selari dengan visi yang diperkenalkan suatu ketika dahulu yang dikenali sebagai Wawasan 2020, kita membayangkan Malaysia berada dalam rentak pembangunan yang pesat dan terancang, berinfrastruktur moden, sekali gus menjadikan taraf dan cara kehidupan yang lebih berkualiti, hasil pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Seiring dengan arus permodenan, kita sedia maklum bahawa segitiga emas Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai “Golden Triangle” telah dibangunkan secara tersusun dan sistematik, menjadikannya pilihan perniagaan bagi bank-bank serta pelbagai syarikat gergasi dunia.

Tanah Keramat Orang Melayu

Namun begitu, dalam usaha penambahbaikan Kuala Lumpur saban tahun, umum mengetahui Kampung Baru yang berada bersebelahan dengan golden triangle ini masih belum dibangunkan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan Kampung Baru ‘tertinggal’ jauh ke belakang berbanding jirannya.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila sebahagian besar daripada keseluruhan kawasannya terdiri daripada rumah-rumah setinggan, pembinaan baik penempatan atau kedai makan yang tidak sistematik, serta tiada pemulihan atau penjagaan pada infrastruktur pada amnya.

Penduduk, warga kota serta media massa sudah berkali-kali mendengar inisiatif plan pembangunan untuk Kampung Baru . Daripada pemerintahan lama Barisan Nasional, mereka gagal membuat tawaran yang menarik untuk meyakinkan para penduduk dan seterusnya mendapat persetujuan mereka.

Kampung Baru mempunyai keunikan serta nilai sentimental yang tersendiri terutama sekali dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, serta eksklusiviti penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu.

Sejarah Pembukaan Kampung Baru

Umum mengetahui tanah yang kini dikenali sebagai Kampung Baru diklasifikasi sebagai tanah rezab Melayu yang juga dipanggil tanah keramat orang Melayu. Ia merupakan tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) sekitar 1899.

Pentadbiran di Kampung Bharu ternyata unik dan berbeza dari daerah-daeran lain, dimana satu akta tersendiri telah ditubuhkan yang dikenali sebagai Malay Agricultural Settlement (Mas) dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 3 (1)The Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950 yang meletakkan urusan pentadbiran dan kawalan Kampung Baru di bawah kuasa Lembaga Pentadbir Mas.

Isu Kampung Baru Yang Masih Belum Selesai


Pada 7 Disember 2011, Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 [Akta 733] telah diluluskan oleh Parlimen. Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) pula telah ditubuhkan pada 1 April 2012. PKB telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi penyelaras, pemudah cara dan penggerak utama dalam pembangunan semula Kampong Baru

Kampung Baru menjadi salah satu tempat tarikan pelancong serta warga kota, untuk pelbagai penjualan makanan seperti nasi lemak, kedai makan tomyam, western, dan pasar malam. Walaupun kita bangga Kampung Baru mendapat tempat di hati orang ramai, tidak dinafikan keadaan Kampung Baru itu sendiri agak menyedihkan apabila seringkali diambil dari sudut pandang perumahan kampung, rumah beratapkan zink, serta berlatarbelakangkan pencakar langit setinggi 88 tingkat yang menjadi mercu tanda kebanggan rakyat Malaysia, Menara Berkembar Petronas.

Rancangan Pembangunan Kampung Bharu

Terdahulu, kerajaan sebelum ini pernah menawarkan kepada penduduk KampungBaru sebanyak RM350 per kaki persegi dengan Hasrat membuka pembelian hartanah di atas nya dibuka kepada orang luar sebanyak 40% dan baki 60% kekal kepada orang Melayu. Jelas sekali tawaran tersebut tidak dipersetujui dan tidak pernah termeterai sebarang perjanjian untuk pembangunan di Kampung Baru diteruskan.

Terkini, Kementerian Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad di bawah pimpinan baru, kerajaan Pakatan Harapan telah memutuskan untuk membangunkan Kampung Bharu setelah sekian lama idea dan rancangan tersebut dibangkitkan tetapi tidak pernah dijalankan. Berikutan tersebut, empat tawaran yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.

Pilihan 1: Tunai Keseluruhan
Tawaran pembayaran secara tunai berdasarkan nilai pasaran semasa sejumlah RM850 per kaki persegi seperti yang dianggarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). Untuk makluman, RM850 kaki persegi tersebut adalah merupakan nilai anggaran tertinggi telah dipilih berdasarkan dalam lingkungan antara RM650 ke RM850. Jika ini menjadi pilihan pemilik dan waris, dianggarkan sejumlah RM6billion akan dibayar kepada mereka.

Pilihan 2: Tunai dan hartanah
Tawaran terdiri daripada sejumlah hartanah dan sebahagian lagi wang tunai, berdasarkan nilai tanah yang dimiliki.

Pilihan 3: Hartanah Keseluruhan
Tawaran bilangan rumah yang sama nilai dengan nilai tanah yang akan dibeli oleh kerajaan.

Pilihan 4: Pemilikan saham dalam pembangunan Kampung Baru
Pemilik dan pewaris dapat menikmati segala keuntungan daripada pembangunan tanah milik mereka.

Keraguan Pemilik dan Waris
Pemilik dan waris tanah rata-ratanya mempersoalkan nilai yang ditawarkan dengan membuat perbandingan nilai semasa tanah di Kuala Lumpur City Centre, atau lebih tepat, di kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas memandangkan kawasan tersebut terletak lebih kurang 3km sahaja daripada Kampung Baru

Namun begitu, mereka perlu menyedari hakikat status tanah Kampung Baru yang merupakan tanah rezab Melayu. Ini bermakna, penjualan hartanah di kawasan tersebut adalah terhad kepada pembeli Melayu sahaja, dan tidak sama seperti nilai pasaran hartanah di kawasan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang tidak ada kekangan dari segi penjualan dan pemilikan hartanah yang dibangunkan.

Memperkasa Ekonomi Masyarakat Melayu

Selain itu, hasrat kerajaan untuk menjadikan Kampung Baru sebagai hartanah terunggul di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, dengan kemudahan termoden dan terbaik, dilihat akan menguntungkan dan memperkasakan ekonomi masyarakat Melayu itu sendiri, dan tidak akan sekali-kali dibuka untuk pemilikan bukan Melayu.

Dalam perancangan pembangunan yang sama, kerajaan akan menyediakan kemudahan pengangkutan sebanyak enam (6) stesen LRT dan MRT, tempat letak bawah tanah, jambatan yang dinamakan Saloma Bridge. Tidak ketinggalan juga unsur warisan seperti kebudayaan Melayu, dan warga kota semestinya akan berasa teruja dengan satu lagi project hot cake yang menjaga kepentingan, kebajikan dan ekonomi masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.

Isu Kampung Baru Yang Masih Belum Selesai


Pemilik dan pewaris juga perlu dimaklumkan bahawa nilai keseluruhan pembangunan di Kampung Baru akan meningkat kepada RM30billion, dan ini merupakan keuntungan kepada pemilik dan pewaris itu sendiri sekiranya mereka memilih tawaran hartanah oleh kerajaan.

Kawasan komersial juga akan dibina mengikut fasa, termasuk Menara Mercu yang akan menjadi pencakar langit ikonik dan bakal merubah lanskap langit Kuala Lumpur!

Melihat Faedah Jangka Panjang

Pemilik dan waris seharusnya menyedari malah menghargai segala usaha dan hasrat murni kerajaan dalam “membawa” Kampung Baru untuk turut serta dalam arus pembangunan setelah sekian lama tidak menikmati nilai tanah mereka yang berpotensi besar.

Pembangkang semestinya mengambil setiap peluang yang ada untuk mempolitikkan hasrat pembangunan ini, namun kita percaya pemilik dan waris adalah lebih bijak untuk mengakui hakikat keuntungan yang bakal mereka perolehi daripada pembangunan ini.

Dengan nilai tawaran yang menarik dan pada masa yang sama masih menjaga kepentingan masyarakat Melayu dengan mengekalkan status tanah rezab Melayu, berserta dengan pelbagai rancangan kemudahan hartanah dan komersil, kemunculan Kampung Baru semestinya akan menjadi satu lagi kebanggaan warga Kuala Lumpur lebih-lebih lagi masyarakat Melayu. - md




Berminat beriklan di web Addin?Jika berminat sila send ke 


Iklan

biomineral-penawar-penyakit-dan-masalah-kesihatan-yang-mujarab-dan-semulajadi

No comments:

Post a comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Artikel Berkaitan