Sunday, 20 October 2019

Intipati Perbicaraan 1MDB Najib Razak

Intipati Perbicaraan 1MDB Najib Razak | Mahkamah Tinggi dalam kes perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara lain diberitahu projek usaha sama (JV) antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dianggap sebagai ‘kawan tolong kawan’. 

Bagaimana 1MDB dengan salah menandatangani perjanjian usaha sama bernilai US$1 billlion dengan syarikat dikatakan milik ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan dan salah seorang saksi utama, membuat pendedahan itu ketika memberikan keterangannya minggu ini.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu kini berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014, dan 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.

Berikut adalah intipati testimoni saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah:

HARI 21 (Okt 14):

Shahrol Azral berkata Jho Low telah beri isi kandungan surat kepadanya bagi tujuan ‘melindungi’ Najib daripada berhadapan risiko politik.

Katanya antara 2009 dan 2010, beliau menandatangani beberapa surat termasuk surat kepada Najib bagi mengelak daripada memberikan maklumat sulit mengenai 1MDB kepada Ketua Audit Negara pada masa itu Tan Sri Ambrin Buang.

Maklumat tersebut bagi tujuan penelitian terperinci syarikat itu dalam proses pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) oleh 1MDB.

Shahrol Azral memberitahu, beliau menulis surat itu (kepada Najib) berdasarkan nota maklumat diberikan Jho Low dan percaya arahan menyekat pemberian maklumat sulit itu datang daripada Najib.

Intipati Perbicaraan 1MDB 


HARI 22 (15 Okt):

Perbicaraan 1MDB hari ini ditangguhkan kerana bekas perdana menteri itu dijadual menyampaikan ucapan berhubung Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada sebelah petang.

HARI 23 (16 OKT):

Shahrol Azral berkata projek usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dianggap sebagai “kawan tolong kawan”.
Katanya projek usaha sama itu diwujudkan atas hubungan peribadi antara Najib dan Almarhum Raja Arab Saudi, Abdullah Abdul Aziz al Saud.

Saksi itu berkata, dia mengetahui perkara itu daripada Jho Low.

“Jho Low memberitahu saya bahawa usaha sama antara PSI dan 1MDB itu diwujud atas hubungan peribadi antara Najib dan Raja Abdullah. Jho Low memberitahu saya, dia turut berada di atas kapal layar semasa perbincangan dijalankan, semasa satu daripada percutian mereka,” katanya.

Shahrol juga berkata bekas pengarah dan pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengarahkan supaya tidak merekodkan perbualan telefon antara beliau dengan Najib semasa mesyuarat usaha sama 1MDB-PSI International pada 26 Sept 2009 bagi membuat keputusan sama ada Lembaga Pengarah (BOD) akan meneruskan usaha sama antara dua syarikat berkenaan.

“Saya jemput Jho Low ke mesyuarat itu supaya dia dapat memberikan penjelasan terus kepada BOD mengenai inti pati yang berkaitan PSI International, bagaimana ia adalah inisiatif Government-to-Government (G2G) dan bagaimana ia boleh muncul. Di awal mesyuarat lagi Mohd Bakke menerima panggilan telefon, yang didail Jho Low, sebelum diserahkan kepadanya.

“Sebaik menerima telefon dari Jho Low, Mohd Bakke berkata ‘PM’ kepada kami, dan terus meninggalkan kami di bilik itu. Saya tidak ingat dengan tepat kata-katanya, tapi yang penting adalah dia beritahu yang dia bercakap dengan Najib, dan dia (Najib) beritahunya bahawa ia adalah inisiatif G2G, tidak boleh dilewatkan, atau katanya ‘disegerakan’.

“Mohd Bakke kemudiannya mengarahkan supaya panggilan telefon itu tidak direkodkan dalam minit mesyuarat. Kalau tidak silap, saya malah mencadangkan supaya audio mesyuarat dirakam, namun dia (Mohd Bakke) tidak bersetuju,” katanya.

Shahrol Azral memberitahu 1MDB dengan salah menandatangani perjanjian usaha sama bernilai US$1 bilion dengan sebuah syarikat yang dikatakan dimiliki Jho Low.

Dana harta negara telah berunding dengan syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak PetroSaudi International Ltd (PSI) tetapi sebaliknya ia menandatangani perjanjian dengan Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd pada 2009.

Intipati Perbicaraan 1MDB Najib Razak 


HARI 24 (Okt 17):

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Jho Low mencadangkan untuk memasukkan Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel (M&A) Pertubuhan 1MDB.

Shahrol Azral berkata, perubahan kuasa membuat keputusan daripada kerajaan persekutuan kepada perdana menteri itu telah dilakukan atas nasihat, antaranya daripada peguam dari Wong and Partners.

“Bagi pindaan itu, konteks menggantikan ‘kerajaan persekutuan’ dalam Artikel 9(a) dengan ‘perdana menteri’ dalam Artikel 117 datang daripada Jho Low. Ini apa yang Najib kehendaki untuk menjadikannya jelas,” katanya.

Mahkamah diberitahu yang Najib telah diletakkan sebagai ‘Maharaja 1MDB’.

Shahrol Azral berkata walaupun 1MDB terikat dengan terma Akta Syarikat tetapi secara realiti Najib mempunyai kuasa penuh dan bebas mengurus hal ehwal syarikat pelaburan strategik itu.

Katanya beliau menandatangani minit mesyuarat berkaitan satu daripada mesyuarat 1MDB disebabkan ia ditandatangani terlebih dahulu oleh Najib.

Shahrol Azral turut mengakui beliau menandatangani minit mesyuarat itu kerana beliau percaya Najib dan Jho Low sedang bekerjasama demi kepentingan negara ini. - bernama



Berminat beriklan di web Addin?Jika berminat sila send ke 


Iklan
biomineral-penawar-penyakit-dan-masalah-kesihatan-yang-mujarab-dan-semulajadi

No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Artikel Berkaitan