Wednesday, 19 June 2019

SRC International Bayar Faedah Guna Dana Awam?

Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sejak 2016 berulang kali menegaskan kepada media bahawa SRC International Sdn Bhd telah membuat bayaran secara tetap sebanyak RM4 bilion yang dipinjam daripada dana persaraan itu.

Bagaimanapun, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa bekas anak syarikat 1MDB itu gagal membayar faedah daripada dua bahagian pinjaman iaitu masing-masing sebanyak RM2 bilion sejak 2015.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan di Seksyen Penilaian Bahagian Pelaburan Strategik, Afidah Azwa Abdul Aziz sebaliknya berkata bayaran faedah itu dibayar daripada dana awam.

Beliau berkata demikian ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.

Afidah berkata, antara Disember 2015 dan Disember 2017, hampir RM600 juta pinjaman diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada SRC International supaya ia boleh membayar faedah dan bayaran pinjaman RM4 bilion daripada KWAP, yang dijamin oleh kerajaan.

Sehingga kini katanya kerajaan masih membayar hutang pinjaman SRC dengan KWAP dan bayaran akan berterusan sehingga selesai bayaran balik secara penuh.

Ketika membacakan keterangannya, Afidah berkata SRC International telah meminjam kepada KWAP tetapi berhenti berbuat demikian mulai bulan Mac 2015.

Pada Ogos 2015, KWAP telah memaklumkan kepada SRC International bahawa dana itu akan mengisytiharkan "event of default" jika syarikat itu tidak dapat menyelesaikan bayaran tertunggak.

Pada September 2015, SRC International, KWAP dan Kementerian Kewangan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Mohd Irwan Serigar.


Mesyuarat itu dimaklumkan bahawa SRC International tidak dapat membayar pinjaman berikutan akaunnya di Switzerland telah dibekukan.

Kerajaan akhirnya bersetuju memberikan pinjaman RM92 juta kepada SRC International untuk membantu syarikat itu membayar balik hutang kepada KWAP.

Pinjaman baru itu diluluskan pada 6 November 2015 untuk mengelakkan "Event of default" yang akan menyebabkan kerajaan perlu menyelesaikan bayaran penuh pinjaman sebanyak RM4 bilion itu.

"Dalam pengetahuan saya, SRC tidak membuat bayaran balik kepada MOF bagi pinjaman RM92 juta yang telah diberikan.

"SRC juga tidak membuat bayaran lanjutan bagi hutang faedah kepada KWAP.

"Ini adalah kerana SRC sekali lagi telah memohon bantuan daripada MOF untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek kedua bagi tujuan membayar hutang kepada KWAP," katanya.

Afidah berkata Kementerian Kewangan bersetuju agar kerajaan persekutuan memberikan satu lagi pinjaman sebanyak RM250 juta kepada SRC International yang ditandatangani pada 27 September 2016.

Afidah berkata, SRC International juga tidak membayar balik RM250 juta pinjaman ini dan meminta pinjaman ketiga pada tahun 2017. 

Kali ini, pinjaman RM300 juta diberikan kepada SRC oleh kerajaan persekutuan.

Ini menjadikan tiga pinjaman yang diluluskan berjumlah RM642 juta tetapi hanya sekitar RM595 juta telah digunakan.

"Ketiga-tiga pinjaman yang diluluskan oleh MOF kepada SRC telah dibayar terus daripada MOF kepada KWAP," katanya.

Afidah berkata pinjaman RM92 juta itu telah diluluskan oleh kabinet manakala pinjaman yang berikutnya sebanyak RM250 juta dan RM300 juta diterima dengan persetujuan Najib.

Beliau tidak menyebut mengenai kelulusan kabinet bagi pinjaman kedua dan ketiga itu.

Afidah berkata bagi projek selain SRC, kebiasaannya MOF akan bersedia lebih awal kerana tahu akan menanggung bayaran pembiayaan kerana kebanyakan projek adalah projek infrastruktur yang tidak dapat menjana hasil mencukupi untuk membayar hutang.

"Tetapi bagi SRC, pinjamannya adalah untuk tujuan pelaburan di mana sepatutnya SRC memperolehi keuntungan hasil daripada pelaburan tersebut," jelasnya.

SRC perlu melangsaikan sepenuhnya pinjaman KWAP menjelang 2022.

Najib kini menghadapi tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta SRC International. - mk



Berminat beriklan di web Addin?Jika berminat sila send ke 




Iklan
Image
Image
Image

biomineral-penawar-penyakit-dan-masalah-kesihatan-yang-mujarab-dan-semulajadi








No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Artikel Berkaitan