Thursday, 15 February 2018

Najib Pikat Orang India Hanya Dengan Kalendar

Penduduk Johor Baru Ganesan menerima hadiah yang tidak disangka daripada Najib Razak minggu lalu – satu kalendar dinding dengan gambar perdana menteri itu bersama beberapa orang India.

Mesej dari Putrajaya di sebalik hadiah ringkas itu tidak dapat disangkal lagi: masyarakat India ada kawan di pejabat paling penting di negara ini.

Hadiah itu menjadi langkah terkini pentadbiran Najib untuk mendapatkan semula undi masyarakat India pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya tidak pernah menjangkakannya. Tetapi saya gembira tahun ini saya dapat kalendar daripada kerajaan,” kata juruteknik berusia 39 tahun itu.

Ciri utama kalendar itu ialah beberapa set gambar Najib dengan keluarga India, kanak-kanak dan pelbagai dasar pentadbirannya untuk komuniti itu.

MIC, parti yang berada dalam gabungan pemerintah, menafikan hadiah itu adalah cubaan memancing undi.

Ketua penerangan parti itu, Mogan Velayatham berkata ia bertujuan untuk mengingatkan kaum India tentang usaha kerajaan menaikkan taraf masyarakat itu, yang menjadi salah satu komuniti paling terpinggir di negara ini.

Bagaimanapun, penganalisis berkata tindakan seperti itu mempunyai kesan terhad kepada pengundi, walaupun terhadap mereka yang di atas pagar, berbanding dengan program fizikal sebenar untuk meningkatkan taraf hidup.

Dianggarkan terdapat dua juta masyarakat India di negara ini dengan 1.1 juta ialah pengundi. Bagi PRU14, BN mahu memperoleh 70% daripada undi itu, kata Mogan.

Pada PRU13, lima tahun lalu, BN memperoleh 50% undi masyarakat India. Pengundi yang keluar mengundi pula lebih 80%. 

Tetapi satu kajian yang dijalankan DAP mendakwa sokongan India terhadap gabungan pembangkang Pakatan Rakyat pada masa itu antara 60% dan 80%.

Gambar depan kalendar itu menampilkan Najib, dengan gaya kedua-dua tapak tangannya dirapatkan dalam cara tradisional masyarakat India mengucapkan salam, bergambar bersama kanak-kanak India yang berpakaian tradisi.  

Satu lagi gambar untuk Januari menunjukkan Najib bersama timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC Dr S Subramaniam pada majlis pelancaran Pelan Induk Masarakat India Malaysia.

Selain cuti umum, kalendar itu turut menandakan perayaan penting dan hari suci masyarakat Hindu, dalam Bahasa Malaysia dan Tamil.

Ia juga mengandungi ringkasan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti skim MyDeposit untuk pembeli rumah kali pertama dan skim simpanan Adam50 untuk bayi baru lahir.

Gambar dan kapsyen lain pula menerangkan dasar pentadbiran untuk meningkatkan dana bagi sekolah Tamil dan bantuan untuk kuil Hindu.

Pujukan yang terhad

“Gambar menjadi satu cara yang sangat kuat untuk mengingatkan akar umbi tentang apa yang kerajaan buat untuk mereka selama ini,” kata Mogan kepada The Malaysian Insight.

Beliau percaya kalendar itu dari Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic), satu badan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sedic ialah unit pelaksana untuk Pelan Induk Masyarakat India Malaysia, yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat paling miskin di negara ini.

Ahli akademi Dr Denison Jayasooria dari Jabatan Pengajian Antara Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kalendar itu akan memberi kesan terhadap golongan masyarakat B40 yang berpendapatan bulanan kurang RM3,860.

Ini kerana masyarakat India B40 yang kebanyakannya menerima manfaat daripada perkhidmatan baharu pentadbiran itu, kata Jayasooria.

“Namun, ia akan memberi kesan sedikit saja terhadap golongan pertengahan dan tinggi, di mana sejak 2008, mereka mendesak hak politik dan pembangunan berdasarkan kepada hak terhadap perkhidmatan, bukan belas ihsan.

“Desakannya ialah hak, peluang dan hasil yang sama. Mereka melihat pemimpin politik daripada masyarakat India menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan diri dan mengkhianati kepercayaan masyarakat India,” katanya.

Daripada perspektif pemasaran politik, Ibrahim Suffian dari Merdeka Center berkata bahan bercetak itu satu cara yang lemah untuk menarik sokongan bagi sesebuah parti politik.

“Ia meningkatkan tahap pengenalan jenama tetapi semua orang sudah tahu siapa Najib. Apa yang benar-benar mengubah gundi ialah masa berdepan dengan ahli politik, di mana mereka dapat tanya soalan dan berinteraksi.

Ganesan berkata hadiah kalendar itu memang mengejutkannya, tetapi ia mungkin tidak akan mempengaruhi undinya. - the malaysian insight







Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Artikel Berkaitan