Wednesday, 7 August 2019

Najib Hanya Hebat Di Facebook

Bekas menteri kewangan II, Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau telah memohon untuk mengetuai delegasi dalam menyelesaikan masalah dana SRC International Sdn Bhd yang dibekukan di Switzerland tetapi perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang juga menteri kewangan I tidak bersetuju.

Memberi keterangan sebagai saksi ke-56 dalam perbicaraan penyelewengan dana SRC International membabitkan Najib, Husni, 67, berkata beliau difahamkan bahawa dana syarikat itu yang berjumlah RM3 bilion telah dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland atas kesalahan pengubahan wang haram.

“Saya telah kemudiannya pergi bertemu dengan Dato’ Seri Najib dan meminta keizinan beliau untuk membawa delegasi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan KWAP untuk membawa dokumen-dokumen bagi membuktikan bahawa wang tersebut adalah pinjaman daripada KWAP dan tidak sepatutnya dibekukan di bawah kesalahan AMLA.

“Namun, YAB PM tidak memberikan persetujuan kepada saya untuk bertindak sedemikian,” katanya ketika membaca kenyataan saksi.

Mengulas ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan, Husni berkata beliau percaya pihak berkuasa Swiss telah membuat kesilapan dan oleh demikian, membuat cadangan berkenaan.

Izzat: Lepas itu apa berlaku?

Husni: Bila Datuk Seri Najib tak setuju, tak buat la.

Izzat: Ada dia cakap kenapa tak setuju.

Husni: (Dia) tak setuju.

Izzat: Boleh cam?

Husni: Haa tu belakang tu, selalu senyum.

Dalam keterangannya, Husni juga mengibaratkan dirinya sebagai "budak pejabat" dan mendakwa bahawa dia sering dipinggirkan daripada sebarang keputusan berkaitan dengan SRC International.

Katanya, walaupun menjadi menteri kewangan kedua, peranannya dalam hal-hal yang berkaitan dengan syarikat itu cuma sekadar menurut perintah sahaja.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Husni sebagai berkata, dirinya juga dirujuk kepada satu dokumen iaitu “Letter of Guarantee Issued By Government of Malaysia in Favour of Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)” bertarikh 26 Ogos 2011.

“Saya sahkan bahawa ini merupakan surat jaminan kerajaan yang saya tandatangan seperti mana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” katanya.

Ahmad Husni, 67, berkata Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Nor Mohamed Yakcop (foto, bawah) telah diluluskan dan persetujuan diberikan untuk memberikan jaminan tersebut.

Katanya pegawai di Kementerian Kewangan telah menyediakan surat jaminan kerajaan untuk beliau tandatangan atas kapasiti Menteri Kewangan II.

“Saya mendapat tahu daripada pegawai MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) bahawa sejumlah RM4 bilion iaitu keseluruhan pinjaman daripada KWAP antaranya digunakan untuk pelaburan arang batu di Jawa, pelaburan sumber asli di Mongolia dan Simpanan bank di Switzerland dan Hong Kong.

“Saya pada waktu itu, saya tidak dirujuk dan tidak diberikan sebarang dokumen mengenai SRC dan pelaburan tersebut, walaupun melalui pegawai saya yang telah meminta daripada SRC.

“Saya telah meminta Dr Isa, ketika itu Setiausaha Bahagian Pelaburan (Kementerian Kewangan) untuk membuat lawatan ke Jawa untuk memastikan kewujudan pelaburan tersebut, tetapi Dr Isa ( Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain) tidak pergi,” katanya.

Beliau berkata pertama kali beliau mengetahui tentang permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 bilion dari KWAP dan pinjaman itu hendaklah dijamin daripada kerajaan Malaysia adalah sewaktu pembentangan kepada mesyuarat jemaah menteri oleh Nor Mohamed Yakcop yang menandatangani dan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berkenaan dengan permohonan tersebut.

Katanya selepas dari itu, beliau telah menemui Najib untuk membangkitkan tentang tujuan memberi pinjaman yang begitu besar kepada SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Saya telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Najib bahawa syarikat ini bertujuan supaya bidang tenaga elektrik ini diperkasakan dengan adanya pemilikan oleh syarikat milik kerajaan yang mempunyai penglibatan dalam perlombongan arang batu.

“Saya kemudiannya telah menyatakan kepada Datuk Seri Najib bahawa perlombongan arang batu ini biarlah melibatkan sektor swasta semata-mata dan bukannya oleh syarikat milik kerajaan.

“Datuk Seri Najib menyatakan bahawa hanya dengan penglibatan kerajaan dalam perlombongan arang batu akan dapat memperkasakan bidang tenaga elektrik,” katanya yang ditugaskan untuk mengurus dasar fiskal serta menjalankan kuasa di bawah lain-lain Akta termasuk Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957.

“Dalam menjalankan kuasa ini, tiada perbezaan antara jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II,“ jelasnya.

Beliau berkata antara tugas-tugas beliau sebagai Menteri Kewangan II adalah untuk menguruskan penyediaan, kelulusan, pelaksanaan, dan pemantauan belanjawan negara dan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dari masa ke semasa, yang mana pada waktu beliau menyandang jawatan itu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Najib.

Katanya beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan II oleh Najib pada 2009 dan pada 27 Jun 2016 beliau telah meletakkan jawatan.

Najib, 66, sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. - mk







Berminat beriklan di web Addin?Jika berminat sila send ke 




Iklan
Image
Image
Image

biomineral-penawar-penyakit-dan-masalah-kesihatan-yang-mujarab-dan-semulajadi









No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...