Wednesday, 19 September 2018

Kerajaan Baru Akan Terbentuk Sekiranya PM Tersingkir

Mana-mana kerajaan yang diwujudkan oleh pakatan baru hanya terbentuk jika perdana menteri hilang kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat, kata peguam di tengah-tengah penubuhan pakatan baharu untuk mencabar Pakatan Harapan (PH).

R Kenghadharan berkata walaupun begitu, perdana menteri boleh meminta Yang di-Pertuan Agong, yang mempunyai kuasa melantik untuk membubarkan badan perundangan bagi memberi laluan bagi pilihan raya umum yang baharu.

“Jika persetujuan Agong diperoleh, mandat itu akan dikembalikan kepada pengundi untuk memilih kerajaan baru,” katanya.

Sekiranya permintaan pembubaran itu ditolak, katanya, perdana menteri akan meletak jawatan untuk membenarkan Agong melantik ahli parlimen lain membentuk kerajaan baru.

Peguam itu bertindak balas terhadap ucapan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan kemungkinan wujud pakatan baru yang dikenali Pakatan Malaysia yang terdiri daripada PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Bersatu Sabah dan PKR.

Khaled berkata dengan formula betul, mereka boleh membentuk pakatan politik yang setanding PH.

Kenghadharan bagaimanapun memberi amaran sukar untuk menumbangkan PH memandangkan ia berfungsi untuk mewujudkan kerangka kerja yang betul untuk tadbir urus yang baik.

PH, yang mentadbir Putrajaya, terdiri daripada PKR, DAP, PPBM, Amanah dan sekutu politik dari Sabah. Ia memegang majoriti 125 kerusi di Dewan Rakyat dengan 222 ahli.

Kenghadharan berkata Khaled kelihatan bergantung kepada gabungan kira-kira 100 orang ahli parlimen dari PKR dan Umno, 18 dari PAS dan mereka dari Sabah dan Sarawak untuk menggulingkan PH yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen mesti menyokong undi tidak percaya untuk menyingkirkan perdana menteri.

Kenghadhran berkata perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri hanya boleh disingkirkan melalui persidangan yang ditubuhkan atau penghakiman mahkamah.

Beliau berkata bantahan kepada Agong bahawa perdana menteri tidak lagi mendapat sokongan dalam badan perundangan pernah diguna pakai di Perak pada 2009.

Beliau merujuk peristiwa di mana bekas menteri besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, disingkirkan selepas 3 Adun meninggalkan Pakatan Rakyat. Mereka mengisytiharkan diri sebagai calon bebas Barisan Nasional (BN), yang memberikan majoriti 3 kerusi kepada BN.

Tuanku Azlan Shah, yang merupakan sultan pada masa itu, enggan membubarkan DUN seperti yang disarankan Nizar, dan Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 2010 bahawa kehilangan kepercayaan tidak perlu dilakukan melalui undi dalam badan perundangan.

Mahkamah berpendapat pemerintah dapat menentukan hilangnya kepercayaan dari sumber-sumber luar yang lain.

Bagaimanapun, Kenghadharan berkata cara terbaik untuk ahli parlimen mengundi tidak percaya terhadap perdana menteri apabila Dewan Rakyat bersidang. - free malaysia today





    
Iklan

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...