Wednesday, 12 September 2018

Berita Gembira Dari Penang

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang yang menyambut baik keputusan kerajaan memberi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap perkhidmatan pembinaan, akan memberi diskaun pembelian rumah sebanyak 6% dan 10% kepada pembeli.

Pengerusi Rehda negeri, Datuk Toh Chin Leong berkata, rumah bernilai RM300,000 ke atas di negeri ini akan diturunkan harga sebanyak 10% berikutan pelaksanaan SST bermula 1 September lalu.

“Selain itu, pihak kami juga akan memberikan diskaun 6% bagi rumah mampu milik yang berharga bawah RM300,000 dan ia terpakai kepada projek sedia ada atau projek baru,” katanya pada sidang akhbar semalam yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, penurunan harga kediaman itu dapat dilakukan berikutan pemaju perumahan kini boleh menyerap kos itu selepas dikecualikan SST, yang mana cukai itu perlu dibayar ketika sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikenakan sebelum ini.

“Kita juga mengalu-alukan pelaksanaan SST ini kerana di bawah GST, pemaju terpaksa menanggung kos tambahan yang ada daripadanya dipindahkan kepada pembeli, tetapi menerusi SST, beberapa komponen cukai berkaitan pembinaan dikecualikan dan ini membolehkan kita menurunkan harga rumah,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, kerajaan amat mengalu-alukan tindakan diambil Rehda Pulau Pinang dan berharap ianya akan dicontohi dan diguna pakai di seluruh Malaysia.

“Ia merupakan satu langkah positif. Terima kasih kepada Rehda kerana mereka adalah badan korporat yang memang bertanggungjawab dan mereka tidak mengambil kesempatan kerana mereka dapat berjimat daripada cukai.

“Mereka (Rehda) tidak akan untung daripada penjimatan cukai, tetapi akan menyalurkan keuntungan ini kepada orang ramai.”

Lim turut berharap Rehda negeri ini dapat memberi nasihat kepada ahli di seluruh negara untuk mengambil langkah serupa.

“Ini juga sebagai usaha membalas usaha kerajaan yang memberikan pengecualian cukai binaan, yang mana harga rumah sepatutnya boleh turun.” - free malaysia today



Iklan
Image
Image
Image
Image




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...