Tuesday, 18 September 2018

Azmin Dan Rafizi Berdamai?

Azmin Dan Rafizi Berdamai? Pemilihan PKR akan diadakan sebelum akhir tahun ini. Seperti juga parti lain dalam negara demokrasi, pemilihan parti bagi menentukan siapa yang lebih layak menerajui parti itu untuk beberapa tahun akan datang.

Antara isu yang paling hangat dibicarakan media sosial kini adalah pemilihan PKR yang melibatkan pertandingan Rafizi Ramli dengan Datuk Seri Azmin Ali untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR yang kini disandang Azmin.

Azmin Dan Rafizi Berdamai? Ahli PKR yang dikatakan lebih 800,000 orang pula melihat kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Rafizi, yang masih berdarah muda, seorang yang pintar, berpendidikan tinggi dan memainkan peranan hebat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Azmin pula tidak kurang hebat orangnya dan mempunyai rekod cemerlang sebagai menteri besar Selangor dari 2014 sehingga 2018. Kini, beliau memegang jawatan menteri hal ehwal ekonomi dalam kerajaan PH.

Pengorbanan Rafizi

Pengorbanan Rafizi untuk parti dan PH tetap dihargai penyokong PKR. Malah, Rafizi telah menghabiskan wang sendiri untuk berkempen dan menubuhkan Invoke pada 2016.

Invoke dengan ratusan kakitangannya menjadi pentas perjuangan politiknya melawan Barisan Nasional (BN). Rafizi harus dipuji kerana kegigihannya berkempen di seluruh negara untuk memenangkan PH dalam PRU14.

Dengan keunggulan sahsiah dan langkah-langkah beraninya dalam mendedahkan beberapa skandal kewangan melibatkan tokoh-tokoh mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan BN telah sedikit sebanyak menawan hati rakyat pelbagai kaum untuk menyingkirkan BN daripada terus kekal di Putrajaya.

Pendedahan maklumat sebegini disanjung rakyat, tetapi pendekatannya dalam soal ini mungkin ada yang tergelincir sedikit daripada lunas undang-undang negara yang mengakibatkan beliau dihadapkan ke mahkamah atas beberapa kes.

Tidak dapat dinafikan ada juga kes yang dibawa ke mahkamah terhadapnya hanya atas desakan politik.

Rafizi juga pernah ditahan polis dan direman untuk beberapa lama, tetapi semangatnya tidak pernah luntur. Beliau tetap meneruskan perjuangan dalam keadaan sangat mencabarkan, malah bersedia dipenjarakan.

Oleh kerana tersangkut dengan kes-kes mahkamah, beliau terpaksa melupakan hasrat bertanding dalam PRU14.

Azmin dan ketokohannya

Azmin pula seorang yang terbukti ketokohannya dalam menerajui kerajaan Selangor. Sebagai menteri besar yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2014, beliau telah membawa Selangor ke mercu kejayaan dalam tempoh singkat.

Azmin Dan Rafizi Berdamai?


Sumbangannya kepada kemajuan negeri itu tidak dapat dinafikan dan Selangor menang besar dalam PRU14 kerana rakyat berpuas hati dengan pentadbiran di bawah kepimpinan Azmin yang telus dan berintegriti.

Kejayaan kerajaan Selangor di bawah kepimpinannya sedikit sebanyak memberi imej baik kepada PKR dan meraih keyakinan dalam kalangan rakyat untuk mengundi PH.

Azmin, seperti juga Rafizi, dilihat sebagai pemimpin yang setia kepada perjuangan PKR. Azmin menghadapi banyak cabaran dalam laluan politiknya sejak 1998.

Teman-temannya daripada Umno yang menyertai PKR sejak penubuhannya pada 1998 lama meninggalkan parti itu dan kembali ke pangkuan Umno.

Tetapi, Azmin tetap tidak berganjak dengan pendiriannya untuk terus membawa agenda reformasi bersama PKR dan menjadi penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini. Pengorbanan Azmin untuk parti tidak boleh dilupakan.

Ketokohannya dalam menerajui Selangor memberi laluan kepada beliau menerajui kerajaan PH di peringkat persekutuan sebagai menteri hal ehwal ekonomi. Beliau telahpun mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akan kembali bermuafakat

Mungkin ada sedikit perselisihan atau kekeliruan pendapat antara kedua-dua tokoh ini – Rafizi dan Azmin – dalam penjelajahan mereka untuk menghadapi pertandingan parti kelak.

Namun demikian, ini dilihat kebanyakan ahli PKR sebagai “ribut dalam cawan teh”. Kata pepatah Melayu, biduk lalu, kiambang bertaut. Mereka diramalkan akan kembali berpaut sehabisnya pemilihan parti demi kebaikan PKR.

Azmin dituduh ingin terikat dengan PAS dalam menghadapi PRU14, walaupun jelas PAS yang agak angkuh ketika itu tidak mahu bersama PKR dan DAP di Selangor, kononnya perjuangan PKR dan DAP tidak berlunaskan Islam ala PAS.

Ada pula yang menuduh Azmin mengail dalam belanga, menggunting dalam lipatan kerana mementingkan diri mahu berbaik dengan PAS. Tuduhan sebegini memang amat meleset sekali.

Azmin tidak boleh dipersalahkan kerana pendekatan berhati-hati yang diambilnya dalam politik kerana ramai penganalisis politik membuat ramalan pertandingan 3 penjuru dalam pilihan raya tidak memihak kepada kerajaan Selangor diterajui PKR dan juga negeri lain.

Mungkin Azmin ketika itu berpendapat, dengan mengadakan kerjasama dengan PAS, pertandingan 3 penjuru boleh dielakkan. Namun demikian, kajian Invoke yang diketuai Rafizi pula menunjukkan PH tetap boleh menang di Selangor tanpa bersama PAS.

Pendapat Azmin mungkin berasaskan pengalaman 2 pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016, di mana calon Umno menang besar dalam pertandingan 3 penjuru. Tambahan, Umno sedaya upaya merangka strategi untuk menarik PAS keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat (PR).

Apabila hubungan PAS dengan PKR dan DAP menjadi runcing, Umno mengambil kesempatan ini untuk berbaik dengan PAS dengan harapan dapat merampas Selangor kembali menggunakan strategi pertandingan 3 penjuru dalam PRU14.

Lebih bernafsu daripada bertenaga

PAS di Selangor yang “lebih bernafsu daripada bertenaga” ketika itu juga ingin menang besar di Selangor yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Bagi PAS, setelah menolak DAP dan PKR, mereka berhasrat menubuhkan kerajaan di Selangor. Paling tidak pun PAS berharap boleh menang cukup kerusi untuk bekerjasama dengan Umno dalam penubuhan kerajaan campuran di Selangor – dengan andaian PAS bersama Umno boleh menang majoriti kerusi.

Ramalan Rafizi berasaskan kajian Invoke, PH tetap boleh menang di Selangor walaupun bertanding 3 penjuru. Tetapi, dalam masa sama, ada juga kajian dibuat badan-badan kajian lain yang kerajaan Selangor akan tumbang jika diadakan pertandingan 3 penjuru.

Rafizi mengharapkan Azmin menolak kerjasama dengan PAS dan memberi tumpuan kepada kerjasama parti komponen dalam PH. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Di sini berlaku sedikit perbezaan pendapat antara Rafizi dan Azmin. Namun begitu, apabila jelas PAS menolak rundingan dengan PKR sesudah habis segala ikhtiar memujuk, barulah Azmin mengambil keputusan tegas menolak kerjasama dengan PAS dan memberi tumpuan penuh kepada PH serta bertekad menghadapi pertembungan 3 penjuru biar apapun keputusan pilihan raya nanti.

Memang akhirnya ramalan yang dibuat Rafizi tepat sekali di Selangor, tetapi perlu diingat juga ramalan PAS tidak boleh menang besar di Terengganu, Kelantan dan Kedah oleh Rafizi tidak menjadi kenyataan.

Ramalan tetap menjadi ramalan, sukar bagi sesiapa pun membuat jangkaan tepat.

Tidak boleh salahkan Azmin

Maka, di sini tidak boleh menyalahkan Azmin kerana mahu menjalin kerjasama dengan PAS di Selangor pada peringkat awal.

Azmin tetap dihantui keputusan 2 PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2015 yang memihak kepada Umno kerana berlakunya pertandingan 3 penjuru.

Perlu juga diamati PPBM pun di peringkat awal pernah berunding untuk bekerjasama dengan PAS. Apabila PAS membuat syarat PPBM harus memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah terlebih dahulu, maka kerjasama ini tidak menjadi.

Keangkuhan PAS tidak mahu bekerjasama menyebabkan PH ditubuhkan hanya dengan 4 parti – PKR, DAP, PPBM dan Amanah. PAS pula dianggap PH sebagai pembangkang yang mesra Umno.

Justeru, di Selangor, Azmin mengambil langkah mengetepikan PAS dan terus bersama DAP, PPBM dan Amanah untuk menghadapi PRU14. Hadapilah apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku, lebih baik mati berjuang daripada menyerah kalah merupakan pendekatan Azmin.

Pendapat yang PPBM tidak dapat menguasai kerusi di Kedah dan negeri lain juga disanggah rakyat.

Sebenarnya, PPBM dan Amanah tiada pilihan kerana PKR dan DAP mahu kekal di kerusi-kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU13 dan mendapat kerusi yang dijangka boleh menang dalam PRU14.

PPBM dan Amanah masing-masing bertembung dengan lawan di kubu kuat Umno dan PAS. Tambahan, kedua-kedua parti ini masih berusia muda dan belum diuji.

Namun begitu, semangat setia kawan antara 4 parti ini mantap dan tidak tergugat sama sekali untuk menumbangkan kerajaan BN. Permuafakatan politik ini yang membawa kejayaan kepada PH.

Kemenangan PH

Sebenarnya, kemenangan PH bukan kerana kekuatan PKR atau DAP sahaja, tetapi rakyat sudah lama bertekad menguburkan BN. Antara sebabnya rakyat yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Tambahan, Umno/BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mendapat tempat di hati pengundi. Mereka mahukan perubahan dan menolak kerajaan yang bergelumang dengan najis rasuah.

Tempias daripada sentimen ini juga menyebabkan PAS boleh menang di Terengganu, kekal di Kelantan dan menang banyak kerusi di Kedah.

Tuduhan ada tokoh-tokoh dalam PKR yang tidak mahu Dr Mahathir menjadi perdana menteri jika PH menang dalam PRU14 agak remeh dan kurang tepat. Ini mungkin pendapat segelintir ahli yang tidak begitu faham tentang sentimen politik yang dibawa pemimpin mereka.

Pemimpin tertinggi dalam semua parti dalam ikatan PH memang bersependapat hanya Dr Mahathir yang boleh membawa kemenangan dengan menjatuhkan kerajaan BN.

Azmin Dan Rafizi Berdamai?


PKR bersama DAP dan PAS dalam gabungan PR di bawah naungan Anwar sebelum ini pernah menentang BN dalam PRU13, tetapi tidak berjaya. PKR yang sudahpun wujud lebih 20 tahun juga gagal menumbangkan BN.

Maka, wajiblah akur jika tidak kerana karisma dan ketokohan Dr Mahathir, mungkin kerajaan BN masih terus berkuasa.

Yang menang dan kalah akan bersama kembali

Dua pihak ini – kem Rafizi dan kem Azmin – yang berselisih faham dalam beberapa isu akan tetap berbaik semula, sekiranya orang yang menjadi pengancam atau penghasut dapat disingkirkan. Air sama air, sampah ke tepi juga.

Selepas pemilihan parti nanti, sudah pasti yang menang dan kalah tetap akan bersama kembali. Bagi mereka, seperti kata Azmin, perjuangan untuk parti dan negara itu lebih penting daripada perjuangan kepentingan peribadi. Hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.

Anwar selaku presiden parti tentu sekali tidak sanggup melihat “2 biji permata” ini dibuang begitu sahaja.

Anwar yang terkenal berjiwa besar dan tidak suka berdendam lama dengan mana-mana pihak akan memastikan bulu yang carik ini dicantum kembali.

Perselisihan faham memang lumrah dalam mana-mana parti politik. Namun, Anwar dengan keterampilan diplomasi yang ada padanya akan tetap memastikan Rafizi dan Azmin kembali menjadi sahabat baik dalam perjuangan parti.

Azmin Dan Rafizi Berdamai? Tentu sekali Anwar mahukan Rafizi dan Azmin bersama berganding bahu untuk lebih menyemarakkan PKR dan PH bagi memajukan negara.

Moaz Nair ialah pembaca FMT



Iklan

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image


No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...