Sunday, 26 August 2018

Pemimpin Pakatan Harapan Beri Amaran Kepada Kerajaan

Ketua Pemuda Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan sebarang keputusan berkaitan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dahulunya dikenali dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) harus dibuat melalui persetujuan kesemua parti PH dan Kabinet.

Katanya, ini kerana Manifesto PH telah berjanji bahawa BR1M akan dikekalkan untuk golongan B40.

Menurutnya, sistem BSH perlu diteliti semula agar ia menepati matlamat untuk mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat dan membolehkan penerima berdiri di atas kaki sendiri.

“Sebarang perubahan juga mesti memastikan bahawa penerima tidak terkesan sehingga menjadi lebih susah. Walau apa pun yang dinyatakan, sebarang perancangan juga perlu mengambil kira terutamanya penerima yang tidak mampu bekerja sama ada kerana faktor umur atau kecacatan fizikal atau mental.

“Perancangan ini mestilah dibuat dengan telus dan informasi hendaklah disampaikan kepada rakyat dengan jelas untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang salah faham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam satu wawancara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum ia dimansuhkan.

Katanya, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Menurut Nik Nazmi, sebarang bantuan dalam bentuk pemindahan wang  tidak salah, terutama jika disyaratkan kepada sesuatu yang positif seperti meletakkan syarat bahawa anak-anak penerima diberi imunisasi dahulu atau sebarang syarat berkenaan pendidikan dan latihan.

“Kejayaan bantuan sebegini telah dibuktikan di negara lain seperti program Prospera di Mexico dan Bolsa Familia di Brazil, kedua-duanya mendapat pujian serata dunia dengan kajian mendapati ia berjaya meningkatkan keadaan kesihatan, perolehan pendidikan, mobiliti sosial seperti memberi kesan positif kepada pasaran kerja dan ekonomi rumahtangga.

“Juga tidak boleh dinafikan bahawa bantuan yang membina lebih baik daripada yang cuma memberi. Tetapi ada juga segilintir golongan masyarakat yang amat memerlukan bantuan dan perkara ini tidak boleh diperkecilkan. PH tidak boleh membuat kesilapan dalam hal ini, sejarah akan menilai kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa jumlah rakyat yang mengharapkan bantuan tersebut adalah antara kegagalan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Keguasaran pasti dirasai oleh ramai penerima BSH yang lain apabila Dr Mahathir menyatakan untuk mengurangkan atau memansuhkan terus bantuan berkenaan.

“Ini kerana pemberian wang sudah menjadi bantuan hayat bagi kebanyakan mereka,” katanya. - sinar





Iklan
Image
Image
Image
Image





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...