Thursday, 5 July 2018

Jangan Amal Politik Dendam

Kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini dinasihatkan supaya tidak mengamalkan politik dendam, khususnya dalam mengambil sebarang tindakan ke atas anggota syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Ketua Pemuda HARAPAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana mereka yang terlibat dalam GLC adalah golongan profesional.

“Kita tak boleh terus politik dendam yang mana siapa sahaja yang dilantik oleh kerajaan dahulu, kita nak tukar.

“Misalnya anggota GLC dan penjawat awam, sebab ramai di antara mereka adalah golongan profesional yang berkhidmat untuk kerajaan pemerintah.

“Namun, jika mereka jelas bersekongkol dengan isu 1MDB (ambil tindakan), tetapi yang lain itu kita tak boleh nak buang dan pecat,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat PKR Setiawangsa, Kuala Lumpur 3 Julai lalu.

Kata anggota parlimen Setiawangsa itu lagi, kerajaan juga perlu sedia maklum bahawa tidak ramai yang mampu memegang tugas-tugas di GLC.

“Tidak ramai yang mampu memegang tugas-tugas ini, bagi saya kita harus bertindak profesional kerana ramai di antara mereka yang berada dalam perkhidmatan kerajaan dan dunia korporat mereka bersikap profesional yang pada ketika itu kerajaan yang memerintah adalah pentadbiran Umno-BN, pentadbiran Najib.

"Jadi, mereka hanya memberi khidmat kepada kerajaan, jadi bagi saya kita kena bezakan perkara itu dengan mereka yang secara terang-terang berkempen untuk BN,” katanya.

Jangan hantar mesej salah

Ketua Pemuda PKR itu menambah, jika kerajaan tetap mahu menukar anggota GLC tertentu ia haruslah dibuat dengan berhati-hati.

"Kalau hendak ditukar sekalipun ia hendaklah dibuat secara molek kerana kita tidak mahu menghantar mesej yang salah kepada pasaran, kepada dunia perniagaan kerana perkara yang tidak disukai oleh dunia pasaran adalah ketidakpastian, mereka mahu tahu di mana garis ia berakhir.

“Ia juga perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak menghantar mesej yang salah dan kerana bagi mereka yang kekal tapi kalau mereka tidak mendapat gambaran yang jelas sama ada kekal atau tidak ia akan menjejaskan bagaimana mereka dapat laksanakan agenda kerajaan HARAPAN,” katanya.

Kejayaan HARAPAN membentuk kerajaan selepas mengalahkan BN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu diikuti dengan pelbagai rombakan dilakukan di dalam agensi dan jabatan kerajaan.

Sementara beberapa peneraju GLC mengumumkan meletakkan jawatan. Yang terbaru, Tan Sri Abdul Wahid Omar meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan digantikan dengan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. - malaysiakini






Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...