Monday, 11 June 2018

Perkara Yang Umno Tak Pernah Buat Sebelum Ini

Menteri dan pegawai kanan kerajaan diminta mengisytiharkan aset mereka, tetapi 3 anggota Kabinet, semuanya daripada Amanah sudah pun mengisytiharkan harta pada Mac.

Tiga menteri tersebut ialah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, yang juga merupakan presiden Amanah; Menteri Pertanian Salahuddin Ayub, timbalan presiden dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefli Ahmad, yang merupakan pengarah strategi Amanah.

Mereka bertiga antara 30 Ahli Parlimen, Adun dan pemimpin politik yang mengisytiharkan aset masing-masing pada Mac melalui kenyataan bersumpah yang disahkan oleh pesuruhjaya sumpah dan diserahkan kepada pertubuhan Invoke Malaysia.

Kira-kira 60 pemimpin politik mengisytiharkan aset kepada Invoke setakat ini.

Tiga menteri terbabit mengisytiharkan aset masing-masing bernilai antara RM674,000 ke RM2 juta yang kebanyakannya terdiri daripada rumah keluarga dan tanah pusaka.

Mohamad Sabu mengisytiharkan aset bernilai RM688,000 tidak termasuk simpanan dan pelaburan bernilai RM325,000. Jika semua dicampurkan nilai aset beliau lebih sedikit daripada RM1 juta. Aset utama ialah 2 buah rumah milik isteri, rumah keluarga mereka dan 1 lot tanah kampung.

Beliau tidak memiliki kereta atas namanya sendiri. Bagaimanapun gambarnya di sisi sebuah kereta Viva milik isteri tersebar di media sosial apabila kenderaan rasmi Kementerian Pertahanan datang menjemputnya di rumah pada hari pertama bertugas sebagai menteri pertahanan.

Salahuddin mempunyai aset bernilai RM740,000, iaitu 2 buah rumah di Pontian dan Gombak. Beliau mempunyai 2 buah kereta, sebuah Honda terpakai dan sebuah Rover Freelander terpakai, yang merupakan hadiah daripada bapa mertua.

Dzulkefly mempunyai aset bernilai hampir RM2 juta, iaitu sebuah rumah keluarga dengan pinjaman sebanyak RM400,000, 2 lot tanah pesaka, 2 buah kereta terpakai dan seutas jam tangan berharga RM10,000, yang merupakan hadiah hari jadi.

Perisytiharan harta mereka dibuat sebagai sebahagian daripada kempen Aku Janji yang dilancarkan sejak September tahun lepas.

Individu lain yang turut mengisytiharkan harta terdiri daripada ahli Parti Sosialis Malaysia, yang merupakan pihak pertama membuat perisytiharan. Aset dimiliki 16 calon pilihan raya parti itu yang diumumkan pada April menunjukkan jumlah dari RM3,000 ke RM3 juta.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semua menteri Kabinet, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan dikehendaki menyerahkan perisytiharan harta masing-masing kepadanya, yang akan diserahkan kepada pusat integriti negara yang baru ditubuhkan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan sama ada perisytiharan itu akan didedahkan kepada umum.

Perisytiharan awam Invoke boleh diikuti di: http://invokemalaysia.org/en/asset-declaration-akujnji/

Sementara itu, Bernama melaporkan mekanisme perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan masih dibincangkan dan keputusan akhir tentangnya akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa anti-rasuah Kabinet akan datang.

Ia memetik ketua pengarah pusat anti-rasuah dan integriti negara, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang berkata beberapa aspek perisytiharan harta anggota kerajaan antara perkara yang akan dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat yang bakal diadakan sebelum sidang Parlimen bermula.

Abu Kassim berkata, pusat integriti akan berbincang dengan pihak terlibat dan mengalu-alukan respons dan maklum balas daripada parti politik dan pertubuhan masyarakat. - free malaysia today




Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...