Monday, 25 June 2018

BN Tidak Relevan Kata Pemimpin Umno

Barisan Nasional (BN) sudah tidak relevan lagi dalam kancah politik apabila gabungan itu kalah dan tidak menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menolak teori bahawa Umno perlu membina semula kekuatan dalam BN bagi mengetuainya dan bersedia hadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang.

“Saya minta maaf dan cakap terus terang, BN sudah tidak relevan dalam konteks masa sekarang. Apabila kita hilang kuasa pemerintahan sudah tentu parti komponen di Sarawak misalnya mendapati BN tidak releven.

“Begitu juga parti politik di Sabah dan Gerakan. BN adalah satu solusi untuk berkongsi kuasa, bukan pakatan untuk menjadi pembangkang. Sebab itu kerajaan Sabah dan Sarawak lihat BN tidak releven,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di Bukit Damansara.

Kelmarin, Gerakan mengumumkan keluar BN sebulan setengah selepas gagal menang satu pun kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya baru lepas.

BN kini hanya dianggotai 3 parti iaitu Umno, MCA dan MIC, berbanding 13 parti komponen sebelum pilihan raya.

Keputusan Gerakan menyusul 11 hari selepas 4 parti komponen di Sarawak meninggalkan BN dan membentuk pakatan politik tempatan atas nama Gabungan Politik Sarawak (GPS).

Umno perlu lupakan BN

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata Umno perlu melupakan BN dahulu jika mahu parti itu terus relevan dalam politik Malaysia.

Katanya, Umno perlu menjadi kuat sebelum parti lain datang untuk membentuk gabungan baru.

“Kalau dah kukuh baru boleh cari kawan. Kalau tidak kenapa kawan Umno dahulu mahu bersama parti itu yang dianggap sebagai tiang seri bersama 13 parti komponen lain dalam BN.

“Sebab dulu kita ada kekuatan. Kalau Umno tak bina semula kekuatan sendiri, jangan fikir soal mahu membentuk gabungan parti politik,” katanya.

Annuar berkata pembentukan gabungan dengan parti lain adalah amalan biasa sekarang dan Umno mesti fikirkan satu pakatan baru.

Katanya, Umno mesti bersedia mengambil pendekatan pragmatik itu dan membuat pakatan politik baru.

“Pakatan satu amalan biasa. Kita lihat ada Pakatan Rakyat (PR), Pakatan Harapan (PH), GPS, blok ketiga, ia sentiasa berubah. Kalau PR boleh berubah, GPS berubah, maka Umno jangan ‘rigid’. Kita bersama BN selama 56 tahun,” katanya.

“Umno mesti fikirkan satu pakatan baru. Sama ada pakatan itu kekal menjadi pembangkang, menyertai kerajaan atau ia pakatan pembangkang yang membentuk kerajaan lepas pilihan raya,” katanya. - free malaysia today



Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...