Monday, 2 April 2018

Tipis PAS Menang Di Johor Dakwa Bekas Adun PAS

Sehelai bendera PAS yang besar tergantung di atas tiang kayu di hadapan sebuah rumah di Taman Desa, Muar - berkibar megah di tiup angin.

Duduk di atas kerusi kayu di anjung rumah berkenaan adalah seorang pemimpin veteran PAS Johor, Dr Sheikh Ibrahim Salleh.

Sheikh Ibrahim bersama-sama seorang lagi doktor dari PAS, Dr Mohamad Taslim pernah tewas pada pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Namun mereka berjaya memenangi kerusi masing-masing di DUN Sungai Abong dan DUN Maharani pada PRU 2008 dan 2013.

Ketika Malaysiakini bertemu Sheikh Ibrahim pada petang 3 Mac lalu, beliau meramalkan nasib yang suram buat parti Islam itu di Johor - sama seperti cuaca mendung pada hari itu juga.

"Secara peribadi, kita harus realistik, PAS Johor tidak boleh bertanding dalam pertandingan tiga penjuru di mana pengundi Melayu hanya sekitar 50 (hingga 60) peratus. Peluang PAS menang di kawasan ini adalah tipis," katanya.

Sheikh Ibrahim berkata bukan Melayu di kawasan itu terdiri daripada lebih 40 peratus pengundi.

Oleh itu pertandingan tiga penjuru serta perpecahan dalam undi Melayu akan memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), walaupun PAS sendiri pernah memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri Johor pada tahun 2013.

Sheikh Ibrahim sendiri tidak akan mempertahankan kerusi Sungai Abong kerana mahu berehat daripada politik dan atas alasan peribadi.

Beliau menafikan spekulasi akan menyertai parti serpihan PAS- Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Saya masih dengan PAS," katanya.

Sementara itu, ramalannya bagi kerusi majoriti Melayu, terutamanya di kawasan Felda juga suram buat PAS dan HARAPAN. Di kerusi-kerusi itu, katanya, Umno akan mempunyai kelebihan dan oleh itu akan berjaya mengekalkan kedudukannya di Johor.

Hari berikutnya, Malaysiakini mendengar pula cerita yang lebih positif mengenai nasib PAS di Johor ketika melawat sebuah klinik kecil yang terletak di bandar Muar.

Doktor Mohammad (gambar) yang juga ADUN Maharani optimis terhadap sokongan bukan Melayu kepada partinya.

"Mungkin sokongan bukan Melayu kepada kita telah menurun, tetapi kita melihat dengan apa yang ditawarkan PAS, bagaimana kita bersama Islam dalam menjalankan tugas kita, InsyaAllah masyarakat akan melihat, mereka akan menilai kerja baik kita.

"Kami masih mempunyai sokongan mereka (bukan Melayu). Apabila saya keluar dari klinik, ramai di kalangan orang bukan Melayu masih mengangkat tangan mereka dan berkata 'YB apa khabar?' dan 'YB saya masih sokong kamu',"kata Muhammad.

Beliau berkata PAS juga aktif di tiga kerusi negeri yang dimenangi pada 2013 - DUN Sungai Abong, Puteri Wangsa dan Parit Yaani.

Ini termasuklah kerja-kerja amal yang dijalankan dengan kerjasama pihak masjid, seperti memberikan beras kepada golongan miskin.

'PAS nekad kalahkan Umno'

Ditanya mengenai pertandingan tiga penjuru, Mohammad berkata PAS bertekad untuk mengalahkan Umno dan BN, dan wajib bagi HARAPAN untuk tidak menggganggu.

Mengenai AMANAH pula beliau berkata ada yang percaya PAS Johor bakal berkubur selepas pemimpin tertingginya beralih kepada parti serpihan itu.

Bagaimanapun bagi Mohamad, perpecahan itu hanya akan membuka lebih banyak peluang kepada muka-muka baru.

"Apabila mereka meninggalkan (PAS), pemimpin yang sedang menunggu akan naik," katanya.

Temuramah dengan dua doktor berkenaan dijalankan oleh Malaysiakini sebelum persempadanan semula pilihan raya yang diluluskan di parlimen Rabu lepas.

Persempadanan baru itu mungkin memberi peluang buat Mohamad kerana daerah mengundi Bandar Barat yang majoritinya pengundi kaum Cina dipindahkan keluar dari Maharani ke DUN Bentayan. Ini boleh mengurangkan kesan undi bukan Melayu dalam pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun, Sheikh Ibrahim berkata daftar pemilih tahun lepas menunjukkan peningkatan signifikan pengundi bukan Melayu.

Kerusi Sungai Abong dan Bentayan adalah dalam bahagian kawasan pilihan raya parlimen Bakri. Manakala DUN Maharani dan Sungai Balang terletak dalam parlimen Muar. - malaysiakini





Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...