Friday, 27 April 2018

Perjalanan Terakhir MB Paling Lama

Angka 14 cukup bermakna bagi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob apabila mengumumkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai pilihan raya terakhir bagi pemimpin berusia 68 tahun itu.

Angka 14 cukup istimewa apabila beliau menggantikan Tan Sri Mohd Khalil Yaakob sebagai menteri besar Pahang ke-14 pada 25 Mei 1999.

Selepas mengharungi 7 pilihan raya sebelum ini, Adnan akan melengkapkan perjalanan karier politiknya dengan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang menjadi kubu kuatnya sejak 1986.

“Saya memang sudah lama menjadi menteri besar, menjadi adun dan pernah menyatakan hasrat untuk berundur…tapi tidak dapat (berundur) atas sebab-sebab tertentu yang tak dapat saya nyatakan.

“Tetapi kali ini, saya percaya ini adalah penggal terakhir saya bertanding. Saya akan berundur apabila tiba masanya,” katanya selepas Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah Kepada Calon Barisan Nasional (BN) Pahang bagi PRU14 di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.

Mengulas pemilihan calon BN kali ini membabitkan 32 penyandang dan 16 muka baharu, Adnan berkata kemenangan kali ini bergantung kepada kolaborasi dan kemampuan mereka mendapatkan sokongan.

“Saya percaya asas segala-galanya adalah calon itu sendiri kerana bila dia dapat buat prestasi yang baik, insya Allah dia akan dapat menyumbang kepada kemenangan Parlimen dan DUN.

“Ada tempat pula anggota Parlimennya cukup popular di kawasannya sehingga dapat membawa calon adun untuk naik sekali bersamanya,” katanya.

Pada perkembangan lain, Adnan turut mengingatkan mereka yang terpilih sebagai calon “tidak terlampau gembira” kerana mereka harus sedar perkara itu datang bersama tanggungjawab berat.

Beliau berkata, majlis pengumuman itu juga bukan satu majlis bersuka ria kerana ada 3 nama yang terpaksa digugurkan, walaupun menunjukkan prestasi baik.

Adnan berkata, mereka yang digugurkan adalah penyandang DUN Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, Datuk Maznah Mazlan (DUN Muadzam Shah) dan Datuk Lau Lee (DUN Damak) yang semuanya disifatkan rakan karibnya dalam bidang politik.

Untuk PRU14, Shukri akan digantikan Nazri Ngah, tempat Maznah pula diisi Razali Kassim, manakala kedudukan Lee diberikan kepada Datuk Natalie Lim Chong Ly.

Beliau juga sebak semasa memuji mereka berjiwa besar kerana menunjukkan keterbukaan dan tidak sedikit pun berdendam apabila menerima berita nama mereka tidak tersenarai sebagai calon.

“Malah, mereka turut datang untuk bersama kita sebagai tanda sokongan. Saya berharap calon baharu di Damak, Pulau Tawar dan Muadzam Shah tidak akan mengetepikan mereka.

“Saya sedih dan sayu dengan pengorbanan dan sikap mereka semua. Kami tidak akan lupa anda bertiga dan tetap akan merindui kamu semua…ingatkan kita yang berada di atas untuk bersiap kerana kita, saya juga akan pergi bila tiba masanya.”

Adnan juga berharap pengganti tidak tergugat atau mempunyai perasaan akan disabotaj kerana 3 individu itu sudah memberi jaminan untuk membantu kemenangan BN pada PRU14. - free malaysia today





Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image






2 comments:

  1. ada kami kisah???? anda dilantik untuk laksanakan tanggungjawab bukan FREE
    dilantik dipercayai dihormati oleh rakyat untuk buat kerja bukan tagih simpati
    bertahan selama ni pon ada nama kroni
    x payah la nak emo klau tahu ini hujung jalan sudahnya

    ReplyDelete
  2. hujung jalan ke hujung nyawa ke..... bukan jawatan free... bergaji la kot
    bukan kecik...makan tak habis laaa

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...