Sunday, 1 April 2018

Ahli Parlimen BN Digantung Bakal Tinggal Parti?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang dikatakan akan bertanding di Sepanggar, memuji penyandang kerusi Parlimen itu, walaupun terdapat khabar angin Datuk Jumat Idris yang digantung akan meninggalkan parti.

Ahli Parlimen Kota Belud itu yakin Jumat akan terus bersama Umno.

“Saya percaya beliau akan mengutamakan parti. Jadi, saya fikir kita perlu tunggu dan lihat kerana saya rasa, selepas hari penamaan, kita akan anjurkan program turun padang dan bertemu rakyat bersama-sama,” katanya selepas menghadiri satu program masyarakat di Sepanggar hari ini.

Ditanya mengenai ketiadaan Jumat di program ini, Rahman berkata mereka ada satu persefahaman di mana mereka akan menjalankan tugas masing-masing.

Beliau menghadiri program ini atas kapasiti seorang menteri yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi, dan menambah ada banyak projek persekutuan di Sepanggar.

“Kita perlu pantau semua projek-projek ini dan dalam masa yang sama, saya perlu turun padang untuk bertemu rakyat sebagai menteri.

“Apabila Kabinet dibubarkan dan jika saya ditakdirkan menjadi calon di sini, maka itu masa yang paling sesuai untuk rakyat melihat saya bersama-sama Jumat,” katanya.

Jumat, yang mengetuai Umno Sepanggar sejak 2008, memenangi kerusi itu dengan majoriti 9,442 undi, meraih 22,845 undi menewaskan calon DAP, Jeffrey Kumin, yang meraih 13,403 undi.

Turut mencuba nasib di kerusi Sepanggar ketika itu ialah calon SAPP, Chong Hon Kiong, yang meraih 4,070 undi dan Daniel John Jambun dari STAR yang terpaksa berpuas hati dengan 1,931 undi.

Sepanggar mempunyai 62,000 pengundi, 51% daripada mereka Bumiputera beragama Islam, 26% Cina dan 21% Bumiputera bukan Islam.

Jumat digantung dari Umno selama 3 tahun pada 2015 kerana mengkritik Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman di Facebook.

Rahman hari ini berkata beliau masih mempercayai kesetiaan Jumat.

“Secara peribadi, saya bertemu Jumat dan kami putuskan, walau apapun yang berlaku di Sepanggar, misi kami ialah mempertahankan Sepanggar dan menawan DUN Inanam yang sekarang ini dipegang pembangkang, serta mempertahankan Karambunai, satu lagi kerusi bawah Sepanggar.

“Ini matlamatnya dan hanya boleh tercapai jika semua pimpinan menghormati keputusan yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN Sabah Musa Aman.

“Saya tidak nampak sebarang masalah besar akan berlaku dan selepas bertemu beberapa pihak, bagi mereka semua bergantung kepada keputusan Najib dan Musa,” katanya. - free malaysia today



Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...