Friday, 2 March 2018

Penduduk Kawasan Najib Pun Merungut Harga Barang Naik

Ketika ekonomi Malaysia terus berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, tetapi nampaknya tidak begitu pula halnya dengan 'dompet' rakyat.

Kos hidup yang semakin meningkat terus dirasai ramai orang, dan malah  di kawasan pilihan raya Perdana Menteri Datuk Najib Razak di Pekan pun, ada yang kedengaran bersungut mengenainya

"Tinggal di Pekan macam duduk di bandar besar... Kos barang naik tetapi gaji tak naik," kata Rohani Abdullah, seorang suri rumah dan ibu kepada enam orang anak.

"Gaji asas di sini di Pekan RM1,000 sahaja sebulan," katanya.

Antara yang berpendapatan rendah ialah anak sulungnya, Mohd Noor Azri Zulkifli, 26, yang bekerja di sebuah kilang tempatan.

Suaminya juga bergaji rendah yang tidak berubah sebagai seorang pekerja kilang tempatan, sehingga lah dia beralih pekerjaan dan menjadi pemandu lori.

Tetapi ini juga mempunyai kesan ekonomi yang tidak diingini kepada keluarganya.

"Kami tak dapat BR1M tahun ini. Saya tak tahu sebab apa," katanya sambil menambah mungkin kerana suaminya mendapatkan kenaikan gaji, maka mereka tidak dapat BR1M.

"Tetapi ia tak banyak, gaji asasnya hanya RM1, 300. Pasal gaji dia naik RM100, tak dapat BR1M. Suami pun malas nak uruskan," katanya sambil menambah semasa keluarganya menerima BR1M, ia dapat membantu menambah perbelanjaan untuk jangka masa pendek

Satu jam memandu dari pusat bandar, di Felda Chini, kisah yang sama diceritakan oleh peneroka.

"Sekarang harga minyak naik, kos sara hidup memang tinggi," kata seorang penduduk berusia 30 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful Aiman, ketika ditemui di majlis ceramah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari Rabu.

Seorang peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Razali pula berkata, bukan peneroka tidak dapat memenuhi keperluan mereka, tetapi ia semakin sukar untuk berbuat demikian.

Dia menyalahkan harga minyak sawit yang turun naik yang menjejaskan kehidupan peneroka.

Sentimen Razali itu dijadikan modal oleh pembangkang untuk menyalahkan Najib dan kerajaan BN atas kenaikan kos sara hidup dengan mengenakan GST, menghapus subsidi bahan api, dan dakwaan salah urus dana awam.

Tetapi bagi sesetengah penduduk Pekan, termasuk Rohani, adalah tidak adil untuk menyalahkan kenaikan kos ke atas perdana menteri.

"Kita tak salahkan (perdana) menteri, ia ikut keadaan dunia, peredaran zaman. Tak boleh le nak banding harga dulu dan sekarang," katanya.

Malah, ada sesetengahnya yang memberi gambaran yang sebaliknya mengenai keadaan sekarang.

Ramli Abd Jalil, 54, berkata semuanya baik di Pekan, dan GST tidak memberi kesan kepada dirinya atau orang lain. "Orang tak merungut," katanya. - malaysiakini





Iklan
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...