Friday, 19 January 2018

Trend Doktor Pakar Kerajaan Letak Jawatan Membimbangkan

Trend Doktor Pakar Kerajaan Letak Jawatan Membimbangkan. Saban tahun, semakin ramai pakar perubatan Kementerian Kesihatan meletak jawatan untuk meraih pendapatan lebih tinggi dan di sektor swasta.

Tinjauan The Malaysian Insight terhadap beberapa doktor pakar mendapati, trend ini tidak akan berubah dan akan membawa kepada masalah lebih besar memandangkan negara masih menghadapi kekurangan doktor.

Trend Doktor Pakar Kerajaan Letak Jawatan Membimbangkan.  Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam berkata seramai 170 pakar perubatan kementerian meletak jawatan pada tahun lalu, meningkat berbanding 158 tahun sebelumnya.

Sejak tujuh tahun lalu, seramai 986 doktor pakar dalam pelbagai bidang meninggalkan perkhidmatan kerajaan dan berhijrah ke pusat perubatan swasta.

Salah seorang daripadanya ialah Dr Muhammad Redzwan S. Rashid Ali yang melihat kelemahan besar dalam pentadbiran hospital kerajaan terutama dari dana dan penyediaan kemudahan.

“Ini memang tidak dapat dinafikan dan tidak ada penyelesaian yang baik untuk fenomena ini kerana ada faktor kos dan kewangan yang terhad di sektor kerajaan.

“Jumlah penghijrahan ini semestinya akan meningkat pada masa akan datang kerana peluang untuk merapatkan jurang ini, walaupun telah diambil maklum oleh kerajaan, ia masih tidak mencukupi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau melihat jurang yang terlalu besar antara pendapatan kasar doktor di hospital kerajaan dan swasta – antara empat hingga lima kali ganda – bergantung kepada pengalaman dan kepakaran.

Dr Redzwan merupakan antara yang paling awal berhijrah ke hospital swasta dari kalangan teman sejawatnya. Beliau mengambil keputusan itu selepas berkhidmat selama 12 tahun di hospital kerajaan.

“Secara purata pakar senior membuat keputusan berhijrah sekitar umur 40 hingga 45 tahun. Jadi mereka kerja dengan kerajaan hampir 15 hingga 20 tahun.

“Kebanyakannya (berpindah) kerana sebab kewangan yang melibatkan keluarga, anak-anak belajar,” kata doktor yang berusia 37 tahun itu.


Trend Doktor Pakar Kerajaan Letak Jawatan Membimbangkan


Dr Redzwan berkata waktu kerjanya di sektor swasta bagaimanapun amat sibuk kerana tugasnya membuatkan beliau pulang lewat malam dan kerap dijadualkan untuk bertugas atas panggilan.

“Waktu bekerja sebenarnya lebih lama dan lebih sibuk di swasta. (Jadi) perlu sangat disiplin dan tentukan masa untuk hal peribadi atau keluarga. Untuk dapatkan cuti juga amat susah.

“Ini ditambah pula dengan pesakit yang kadang-kadang meletakkan jangkaan yang sangat tinggi dan ini boleh membuatkan stres,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pendapatan diperoleh setiap bulan berbaloi dengan titik peluhnya.

Katanya, perbezaan kecekapan sistem di hospital swasta juga dapat dilihat dengan ketara apabila proses rawatan berjalan dengan lancar, berbanding dengan keadaan yang dilihatnya dalam perkhidmatan kerajaan.

Ini memandangkan, kos perubatan di hospital kerajaan disubsidi hampir sepenuhnya oleh kerajaan dan ditambah pula dengan bilangan jumlah pesakit amat ramai dan senarai menunggu yang panjang, katanya.

“Di swasta, (doktor) lebih berdikari, lebih selesa dan pantas dalam buat kerja dan merawat pesakit disebabkan tidak ada kelewatan, dan menikmati kebebasan daripada segi kewangan.

“Tidak dikekang oleh faktor lain seperti kekurangan dana, bajet, ubat-ubatan yang terhad dan kelewatan dalam siasatan dan rawatan,” katanya.

Ambil masa lama untuk kenaikan pangkat

Selain itu, doktor di hospital kerajaan juga menghadapi peluang yang terhad serta mengambil masa untuk kenaikan pangkat daripada gred UD54 ke pangkat Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C).

Dr Redzwan berkata ini memandangkan kerajaan menambah gred baru iaitu UD56 yang dijangka mungkin melewatkan kenaikan pangkat ke JUSA C.

“Kenaikan pangkat dari UD54 atau UD56 dan seterusnya ke peringkat JUSA itu yang selalunya lewat kerana ada kuota terhad.

“Perbezaan antara pangkat UD dan JUSA itu ada perbezaan ketara. Pakar di (hospital) kerajaan dapat bayaran tetap dengan elaun bergantung pada pangkat,” katanya.

Trend Doktor Pakar Kerajaan Letak Jawatan Membimbangkan


Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan sistem di sektor swasta yang menyediakan peluang kepada doktor pakar untuk meraih pendapatan lebih tinggi tanpa mengira pangkat.

“(Di) swasta tidak ada konsep pangkat untuk pakar perubatan kerana semua pakar di hospital swasta adalah pakar perunding. Dan gaji atau bayaran diterima pakar perunding lebih tinggi kerana mendapat bayaran khidmat rundingan dan bayaran prosedur rawatan,” katanya.

Mengulas mengenai tekanan kewangan dalam perkhidmatan kerajaan, seorang lagi doktor pakar, Dr Mustafa Kamal, 46, mengakui berhijrah ke hospital swasta sejak tiga tahun lalu atas komitmen hidup.

“Saya perlu wang... anak lima orang sudah mula masuk universiti. Saya juga menyara dua orang tua saya dan adik yang menghidap penyakit yang belanja ubatnya sehingga RM5,000 sebulan,” kata pakar respiratori itu.

Beliau yang pernah berkhidmat di hospital kerajaan selama 18 tahun itu berkata perbezaan pendapatan yang diterima berbanding di hospital swasta adalah enam kali ganda.

Beban kerja

Selain itu, beliau juga merasakan gaji yang diperolehnya setiap bulan dalam perkhidmatan kerajaan tidak lagi setimpal kerana menanggung beban kerja yang berat dan perlu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa.

“Saya ketua jabatan respiratori dan hanya mempunyai seorang pakar bawah seliaan saya dan saya ada empat wad, 12 pembantu perubatan, 10 doktor, 100 jururawat untuk dipantau.

“Saya juga perlu melawat ke 10 hospital daerah seluruh Kedah dan Perlis. Beban kerja tinggi (tetapi) gaji macam itu juga,” katanya.

Katanya, daripada segi cabaran beliau tidak nampak perbezaan daripada kedua-dua sektor ini.

Sependapat dengan Dr Redzwan, beliau berkata kenaikan pangkat dalam perkhidmatan kerajaan terlalu perlahan dan doktor pakar perlu menanggung beban kerja yang berat ketika bertugas.

Keluhan ini disokong Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ravindran R. Naidu yang mengakui faktor itu mendorong kebanyakan doktor pakar berhijrah ke hospital swasta.

Ramai di kalangan profesional yang berpengalaman ini masih dalam jawatan gred UD54 dan UD56, katanya.

Trend Doktor Pakar Kerajaan Letak Jawatan Membimbangkan


“Kebanyakan yang meninggalkan hospital kerajaan adalah doktor pakar. (Sepatutnya) kenaikan pangkat perlu diberikan lebih banyak lagi terutamanya bagi mereka yang sudah berkhidmat selama bertahun-tahun.”

Selain isu perjawatan dan kenaikan pangkat yang terhad, doktor pakar juga menghadapi masalah birokrasi, kebarangkalian ditukarkan ke tempat yang jauh secara tiba-tiba dan bayaran yang rendah.

“Sekarang ini, kita sangat kekurangan doktor pakar dan ia membimbangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi menangani masalah sedia ada, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menaik taraf hospital di kawasan yang tidak mempunyai doktor pakar serta menawarkan tempat latihan yang lebih banyak untuk doktor pascasiswazah. – the malaysian insight





Iklan
Image
Image
ImageImage
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...