Wednesday, 10 January 2018

Peniaga Makin Panik

Di ambang tahun baru 2018, peniaga industri pakaian dan tudung lebih berhati-hati dalam menghasilkan produk bagi memastikan tiada lambakan yang akan menyebabkan kerugian.

Kebanyakannya bimbang pelanggan akan kurang berbelanja kerana lebih fokus kepada barang keperluan memandangkan kenaikan harga barang yang memberi kesan kepada kos sara hidup masyarakat.

Siti Murni Abdul Aziz, pengasas tudung jenama Tudung Siti Murni berkata syarikatnya berkembang tanpa pinjaman besar menggunakan strategi mengehadkan kuantiti tudung selain rekaan unik untuk memastikan kelangsungan jualan.

“Kita memang edisi khas. Kita pun faham, ekonomi tidak menentu. Jadi untuk tak nak ada lambakan produk, kita hadkan kuantitinya. Satu keluaran tidak boleh lebih 10,000 helai.

“Lagipun, kita berkembang tanpa ada geran dan pinjaman, jadi untuk hasilkan tudung dengan banyak, modal terhad. Jadi, survey dan respons pelanggan penting untuk kita keluarkan ikut permintaan.

“Jika ada banyak order, baru kita putuskan tambah lagi keluaran tudung,” kata Siti Murni dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insight di butiknya di Bangi, Selangor.

Siti berkata penting bagi setiap pengusaha tudung jenama sendiri membuat kajian dan maklum balas daripada pelanggan.

“Rekaan kita kaji dulu, tengok respons pelanggan. Macam Tudung Siti Murni ia sudah ada pelanggan tetap kerana tudung kami unik,” katanya yang juga seorang bekas pembaca berita RTM.

Hampir tujuh tahun berniaga, jenama itu terkenal jolokan nama “tudung wanita alah besi” kerana rekaannya yang hanya menggunakan getah dan tidak memerlukan pin untuk memakainya.

“Tudung kita menyelesaikan masalah wanita yang alah atau alergi besi. Sebenarnya ia masalah saya sendiri yang sering kulit sensitif. Bila pakai pin tudung di bawah dagu, akan kemerah-merahan,” kata Siti yang mendaftarkan jenamanya di bawah Akta reka bentuk perindustrian 1996 pada 2011.

Tahun ini, rakyat Malaysia perlu terus mengikat perut memandangkan harga makanan dan petrol dijangka kekal tinggi meskipun berlaku penurunan harga pada 2017.

Pakar ekonomi menjangkakan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS pada 2018 menyebabkan penurunan harga import. Malaysia mengimport makanan bernilai RM38 bilion antara Januari dan Oktober pada 2016.

Tetapi kenaikan harga petrol pada akhir tahun ini juga dijangka berterusan hingga 2018 disebabkan peningkatan permintaan global dan kurangnya bekalan.

Pengusaha pakaian Bymadeeha pula menggunakan strategi baju santai dan lebih kasual.

Pengasasnya, Normadihah Ibrahim berkata berbanding tahun sebelumnya, kali ini ia mengeluarkan rekaan asas tanpa perlu menggunakan banyak corak kerana ia lebih mudah dijual dan dipadankan.

“Untuk 2018, kita buat rekaan bercirikan kasual dan baju kurung asas. Tahun ini ekonomi agak perlahan dan semua orang beli pakaian yang boleh dipakai di mana-mana.

“Jadi untuk itu, yang polos lebih sesuai dan harga mesti rendah pada musim perayaan. Untuk setiap keluaran pula saya hadkan untuk 200 pasang saja,” katanya.

Normadihah berkata antara strategi memastikan sambutan produknya, ibu anak dua ini memilih warna yang popular dan selamat.

“Untuk setiap produk, tidak perlu banyak warna. Lima warna dipilih kebiasaannya kena masuk dengan semua warna kulit. 

“Boleh hendak ikut trend semasa untuk warna, tetapi bagi pelanggan 24 hingga 48 tahun, mereka kebiasaan lebih minat warna biru lembut dan merah (maroon).

“Tapi untuk selamat dalam perniagaan jangan ambil warna terlampau striking. Warna selamat untuk dijual. Senang jalan,” katanya.

Pengusaha butik pakaian Alia Omar turut mengambil langkah sama dengan mengehadkan pengeluaran dan hanya mengikut permintaan.

“Untuk setiap warna dalam 20 pasang. Tetapi kita tidak tambah lagi jika habis, semuanya bergantung kepada order,” katanya.

“Sekarang ini ekonomi tak menentu, orang hendak belanja fikir dua tiga kali. Jadi untuk tambah pendapatan dalam butik saya juga jual kain renda.

“Untuk kain renda, saya order dalam kuantiti yang terhad dari China. Dalam masa sekarang ini kita tidak boleh ambil risiko tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight. 






Iklan
Image
ImageImage
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image







No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...