Tuesday, 5 December 2017

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor?

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor?  Sabtu lalu, bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menghadiri Konvensyen Umno Selangor dengan perisytiharan beliau akan bersama berkempen untuk Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.

Tetapi Khalid tidak atau belum menyertai semula Umno.

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor?  Dalam tugas ini, Khalid akan bersama bekas menteri besar Selangor yang terdahulu, Tan Sri Muhamad Muhd Taib (1986-1997), Tan Sri Abu Hassan Omar (1997-2000) dan Datuk Seri Khir Toyo (2000-2008) bagi menentang Datuk Seri Azmin Ali yang menyandang jawatan itu sejak 2014.

Bagaimanapun, dalam majlis itu tidak diisytiharkan siapakah yang bakal menjadi menteri besar Selangor jika BN menang.

Buat masa ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor ialah Datuk Seri Noh Omar.

Beberapa bulan lalu, Khalid menghadiri acara besar anjuran PAS di Terengganu. Sebelum acara itu, dispekulasi beliau akan menyertai PAS. Tetapi ternyata spekulasi itu meleset.

Setelah tidak bersama dengan PKR, Khalid masih tidak berparti. Namun adalah jelas, beliau mesra dengan PAS. Kini dengan kehadiran Khalid dalam acara Umno itu, beliau juga mesra Umno. Ini menunjukkan beliau mesra dengan kedua-dua PAS dan Umno.

Maka ia juga selaras dengan suasana baharu politik iaitu PAS dan Umno adalah saling mesra.

Khalid adalah menteri besar Selangor pertama yang bukan daripada Umno. Tetapi beliau juga bekas ahli Umno. Selain itu, beliau juga bekas ahli PKR, seperti juga Mat Taib (yang juga bekas ahli PAS).

Mat Taib meninggalkan Umno dan menyertai PAS semasa kempen pilihan raya umum ke-13. Ketika itu, PAS masih anggota Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. Apabila berlaku krisis dalaman PAS yang menghasilkan 2 pihak pada 2015, beliau kelihatan lebih hampir dengan Gerakan Harapan Baru yang akhirnya menubuhkan Amanah.

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor? 


Tetapi apabila Amanah ditubuhkan, Mat Taib tidak menyertai parti baharu itu, sebaliknya beliau menyertai PKR, bersama Datuk Kamaruddin Jaffar.

Tetapi ketika Mat Taib menjadi MB, jawatan tertingginya ialah naib presiden Umno dan beliau merupakan sebahagian daripada Team Wawasan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, apabila berlaku krisis dalaman Umno yang menyaksikan pemecatan Anwar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998, Mat Taib tetap bersama Umno.

Sebaliknya, Khalid yang menyertai PKR dan menjadi calon pilihan raya parti itu. Walaupun pada mulanya kalah dalam kedua-dua pilihan raya itu, beliau menang dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya umum tahun 2008 yang membolehkan beliau menjadi MB di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Bukan orang Mahathir atau orang Anwar. Sebelum menyertai politik, Khalid adalah tokoh korporat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mencapai kecemerlangannya ketika pemerintahan Dr Mahathir. 

Beliau dikenali sebagai tokoh Melayu yang artikulat dalam pembicaraannya, dengan rancangannya di radio yang mana ulasan beliau mengenai isu ekonomi adalah popular di kalangan pendengar Melayu yang baru celik mengenai dunia kewangan dan pelaburan.

Khalid menjadi sosok contoh dalam pandangan dunia Melayu Baharu ketika Malaysia berada di bawah gandingan Mahathir-Anwar. Namun begitu Khalid tidak dikenali sebagai “orang Mahathir” atau “orang Anwar” ketika itu.

Maka ketika beliau menceburkan diri dalam politik Umno, iaitu dari peringkat bahagian, beliau gagal meraih sokongan di peringkat itu. Maknanya dalam Umno, beliau tidak diberikan tempat baik di peringkat pusat, mahupun di peringkat negeri, malah di bahagian, walaupun nama beliau adalah harum bukan saja di kalangan orang Melayu, tetapi juga masyarakat Malaysia.

Sebaliknya, Dr Mahathir memilih Abu Hassan Omar menggantikan Mat Taib yang terpalit skandal wang tunai berlebihan di Australia.

Dalam pelantikan Abu Hassan itu, pilihan raya kecil DUN terpaksa diadakan bagi memberi kerusi negeri untuk beliau.

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor? 


Begitu juga apabila Dr Mahathir memilih Khir Toyo sebagai MB menggantikan Abu Hassan yang juga diturunkan atas sebab skandal.

Ketika pemilihan Khir itu, antara pemimpin Umno dan menteri kanan yang amat rapat dengan Dr Mahathir ialah Tun Daim Zainuddin.

Umno dan Selangor. Rekod Umno Selangor yang begitu rupa menjadikan pihak pembangkang bertambah popular. Tetapi sejak sebelum merdeka, Umno adalah popular di kalangan orang Melayu Selangor dengan sumbangannya terhadap kedudukan ekonomi Bumiputera. Tetapi ia tidak popular di kalangan orang Cina terutama mereka yang berasal dari golongan pekerja lombong.

Semasa Darurat, terdapat banyak kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) di negeri itu.
Maka sejak merdeka, pembangkang utama adalah dari kalangan Cina sementara orang Melayu adalah jitu dalam sokongan kepada Umno. Lebih-lebih lagi Umno Selangor dipimpin oleh tokoh Melayu iaitu Datuk Harun Idris yang dilihat mampu untuk bukan saja menjadi MB tetapi juga perdana menteri.

Walaupun terdapat kehadiran pembangkang Melayu di Selangor dalam bentuk Parti Rakyat Malaya (PRM) dan PAS, mereka tidak menjejaskan kekuatan Umno dan Perikatan. Sebelum 1969, parti pembangkang utama ialah Front Sosialis Rakyat Malaya yang dianggotai oleh Parti Buruh Malaya (PBM), PRM dan Parti Konvensyen Kebangsaan (NCP).

NCP terdiri daripada bekas ahli Umno yang diketuai Aziz Ishak, bekas menteri pertanian era Tunku Abdul Rahman. Mereka bergerak di Selangor.

Dalam pilihan raya 1969, Front Sosialis sudah terbubar kerana pendaftaran PBM terbatal. Akibatnya, bekas ahli PBM berpecah. Sebahagiannya menyertai PRM. Yang lain pula menyertai Parti Gerakan dan DAP yang baru ditubuhkan.

Keputusan pilihan raya umum 1969 adalah mengejutkan. Gerakan dan DAP menang banyak kerusi hingga hampir dapat menubuhkan kerajaan negeri. Tetapi kemudiannya pembangkang berpecah dengan Gerakan serta PAS menyertai BN.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan yang mengurangkan kawasan majoriti Cina di Selangor.

Dalam Umno, cabaran Harun Idris terhadap kepimpinan, pada mulanya terhadap Tun Razak Hussein, dan kemudiannya kepada Tun Hussein Onn, dapat dipatahkan apabila MB itu disabit kesalahan rasuah dan dipenjarakan.

Apabila berlaku krisis Umno pada 1988, Harun menyertai Semangat 46 yang mengadakan pakatan dengan DAP melalui Gagasan Rakyat, dan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah.

Tetapi dalam pilihan raya 1990, walaupun DAP dapat meraih undi, parti pembangkang Melayu tidak mendapat sokongan. 

Begitu juga dalam pilihan raya 1999. walaupun kelihatan PKR dan PAS mula bertapak dengan kemenangan beberapa kawasan tetapi kerajaan BN Selangor tidak terjejas.

Atas rekod inilah, menjelang pilihan raya umum tahun 2008, Khir Toyo boleh menyatakan bahawa BN boleh menang semua kawasan DUN negeri itu.

Kebangkitan Khalid. Dari sejak sebelum pilihan raya lagi, pembangkang seperti Barisan Alternatif dan DAP telah menaikkan nama Khalid sebagai bakal Menteri Besar jika mereka menang.

Ketika itu, Barisan Alternatif terdiri daripada PKR dan PAS. Sementara DAP yang sudah keluar daripada Barisan Alternatif tetap menjadi sekutu mereka. PSM pula bertanding atas tiket PKR di Selangor.

Maka apabila Pakatan Rakyat ditubuhkan, Khalid dengan mudah disokong untuk menjadi MB. Walaupun pada detik-detik kemenangan itu terdapat usaha untuk menghalang beliau daripada memegang jawatan itu.

Ini kerana ada sekumpulan pemimpin PAS dan Umno berusaha di saat akhir untuk membentuk kerajaan Melayu di Selangor. Usaha mereka gagal kerana umumnya orang PAS mahukan kerajaan Pakatan Rakyat. 

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor? 


Undi yang diperoleh calon PAS adalah juga datangnya dari penyokong DAP, PKR, PSM dan lain-lain pihak pembangkang yang menolak kerajaan negeri Umno dan BN.

Kejatuhan Khalid. Selepas pilihan raya 2013, PAS dan PKR bergolak. Anwar melakukan Langkah Kajang untuk menggantikan Khalid dengan dirinya bagi jawatan Menteri Besar. Tetapi Anwar dipenjarakan sebelum pilihan raya kecil diadakan.

Maka Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dirancang untuk dijadikan MB. Walaupun beliau menang, Khalid enggan turun untuk bagi ruang kepada ketuanya. DAP dan PKR menyokong Dr Wan Azizah, tetapi PAS mahukan Khalid menjadi MB.

Inilah bermulanya keretakan Pakatan Rakyat. Tetapi Khalid akhirnya gagal kerana ada ADUN PAS enggan menyokong beliau

Namun, Dr Wan Azizah juga gagal menjadi MB. Pilihan calon PKR kedua iaitu Azmin yang berjaya enyandang jawatan itu.

Kini Khalid bersama dengan BN dan PAS untuk menghalang Pakatan Harapan daripada berkuasa. Walaupun banyak rakyat Selangor dipercayai masih kuat menyokong pembangkang, undi mereka akan berpecah apabila berlaku pertandingan 3 penjuru.

Melihat rekod Pakatan Rakyat itu, ada kalangan penyokong pembangkang pasti kecewa dengan gelagat pemimpin PKR dan PAS termasuk Khalid.

Petanda Sahih Umno BN Tumbang Di Selangor? Pada masa sama, pihak pembangkang mempunyai pendokong baharu iaitu dari PPBM yang kini menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan. - fmt





Iklan
Image
ImageImage
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...