Thursday, 4 August 2016

Pemuda Umno Ini Miliki Ilmu Kebal

Pemuda Umno Ini Miliki Ilmu Kebal. Pada 26 Julai 2016, gegak gempita seantero Malaya seorang pemuda lemah lembut lagi gemalai dan penuh sopan santun mengumumkan beliau membuat suatu laporan polis bernombor Chowkit/005870/16.

Pemuda lemah lembut lagi gemalai dan penuh sopan tersebut bernama Khairul Azwan Harun yang juga merupakan naib ketua sebuah sayap Pemuda parti keramat Melayu menggunakan singkatan Inggeris iaitu Umno.

Pemuda Umno Ini Miliki Ilmu Kebal. Khairul Azwan dalam sidang medianya selepas membuat laporan polis tersebut dilaporkan berkata beliau membuat laporan polis ke atas Tan Sri Abu Kassim Mohamed (bekas pesuruhjaya SPRM), Tan Sri Zetti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara) dan Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas peguam negara) kerana mempercayai ketiga-tiga mereka secara berseorangan atau bersama terlibat dalam suatu konspirasi menggulingkan perdana menteri dan Kerajaan Malaysia yang sah dengan memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI.

Khairul seterusnya berkata maklumat dan dokumen tersebut diberikan tanpa kelulusan pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara malah dokumen dan maklumat tersebut adalah palsu, direka dan diputar belit.

Akhirnya dengan tegas dan bangga Khairul Azwan menyatakan di perenggan terakhir laporan polisnya: “Perkara yang saya laporkan di sini bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas dan saya pohon supaya pihak polis menyiasat perkara ini dengan segera.”

Pemuda Umno Ini Miliki Ilmu Kebal


Polis dilaporkan merakamkan kenyataan Khairul Azwan pada 29 Julai 2016 dan semalam (2 Ogos 2016) Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis sudah menutup kes dan memberhentikan siasatan terhadap laporan polis berkenaan.

Alasan yang diberikan KPN ialah laporan Khairul Azwan tersebut hanya berdasarkan “andaian” yang mungkin diperoleh melalui bacaan di akhbar, mendengar cerita orang saja. KPN seterusnya dilaporkan berkata semasa dirakam percakapan dan siasatan, Khairul Azwan tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong dakwaannya.

Malah KPN berkata polis menasihati Khairul Azwan supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada masa depan jika tidak mempunyai fakta atau bukti.

Wah! Semudah itu kes ditutup. Semudah itu kes selesai. Sudah gegak gempita seluruh alam, dituduh tiga penama di dalam laporan polis terlibat dalam konspirasi menggulingkan perdana menteri dan kerajaan Malaysia, sudah mendabik dada ia bukan dakwaan semata-mata tanpa asas, akhirnya hanya dinasihatkan jangan ulangi perbuatan dan kes ditutup.

Apa istimewanya pemuda lemah lembut bersopan santun daripada parti Melayu bernama Inggeris itu? Kenapa dia dilayan dengan istimewa? Kenapa dia tidak didakwa melakukan laporan palsu? Kenapa tidak didakwa melakukan fitnah jenayah terhadap ketiga-tiga penama di dalam laporan polis?

Tuduhan terhadap tiga penama di dalam laporan polis Khairul amat serius. Kesalahan jenayah yang didakwa dilakukan tiga Tan Sri tersebut adalah kesalahan di bawah Bahagian 6 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan terhadap negara yang mana ia adalah suatu kesalahan keselamatan yang akan dikendalikan melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma. Ini amat serius, bukan perkara main-main yang boleh diandaikan.

Polis mengambil keterangan, merakam percakapan, menyiasat dan akhirnya membuat kesimpulan atau keputusan laporan Khairul Azwan adalah tidak berasas malah tidak dibuktikan dengan apa-apa dokumen atau bukti walau pun Khairul menyatakan ia “bukan dakwaan semata-mata tanpa asas”.

Pemuda Umno Ini Miliki Ilmu Kebal


Bertolak daripada siasatan dan keputusan polis yang laporan Khairul tersebut adalah tidak berasas malah hanya bersandarkan andaian yang diperoleh melalui bacaan di akhbar dan mendengar cerita orang, sewajarnya Khairul dikenakan tindakan dan didakwa di bawah peruntukkan Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Seksyen 182 Kanun Keseksaan melibatkan pemberian maklumat palsu oleh seseorang kepada seorang penjawat awam dengan mulut atau bertulis yang ia ketahui atau percaya sebagai palsu.

Seksyen 499 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan memfitnah untuk merosakkan nama baik seseorang yang menyebabkan seseorang itu dipandang menjijikkan dan keji.

Seksyen 499 Kanun Keseksaan pernah digunakan dan dipertuduhkan ke atas Mohamad Sabu, presiden Amanah dalam isu Mat Indera.

Kenapa Khairul Azwan ini dibiarkan, dilepaskan malah hanya dinasihati? Apa istimewanya Khairul Azwan? Adakah kerana dia naib ketua Pemuda Umno atau ada isu lain yang hendak dilindungi?

Pemuda Umno Ini Miliki Ilmu Kebal. Maka benarlah jika kamu pemimpin Umno, kamu dilindungi. Buatlah apa saja tanpa ragu dan gusar kerana undang-undang tidak tertakluk ke atas kamu. Buatlah apa saja tanpa ragu dan gusar kerana pihak berkuasa juga melindungi kamu.

Jika seorang pemuda seperti Khairul Azwan boleh dilepaskan dan seolah-olah dilindungi, apatah lagi “Malaysia Official 1”.



Zulhazmi Shariff ialah pembaca FMT




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...