Monday, 2 May 2016

Persatuan Perubatan Malaysia Bantah Keterlanjuran Ketua Polis Negara

Persatuan Perubatan Malaysia bantah keterlanjuran Ketua Polis Negara. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membantah tindakan Ketua Polis Negara mengumumkan keadaan mental lelaki yang memecahkan patung kuil Hindu kepada media.

Presidennya, Dr Ashok Philip berkata maklumat seperti itu sepatutnya dirahsiakan dan hanya digunakan dalam mahkamah.“Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) mengehadkan penyampaian maklumat perubatan pesakit.

“Sekarang doktor itu diumumkan sebagai “sakit mental”. Atas prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, maklumat sensitif seperti itu sepatutnya diperlakukan mengikut undang-undang,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Pada 29 April lalu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kepada pemberita bahawa Fathi Munzir Nadzri menjalani rawatan pesakit mental sejak 2013 di Hospital KPJ Ipoh.

Maklumat itu diumumkan sebagai jawapan kepada kenyataan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Dr S Jeyaindran yang berkata Fathi tidak mempunyai rekod sebagai pesakit mental.

Persatuan Perubatan Malaysia bantah keterlanjuran Ketua Polis Negara.  MMA mengambil pendirian bahawa Dr S Jeyaindran telah membuat kenyataan yang tepat dan berfakta berkenaan keadaan kesihatan suspek berdasarkan kepada maklumat yang ada di pihak Kementerian.

Dr Ashok seterusnya menggesa semua klinik dan hospital swasta supaya mematuhi peruntukan-peruntukan dalam PHFSA berkenaan penggunaan, penyimpanan dan penyampaian rekod pesakit.

“Sekalipun semua langkah perundangan telah dituruti semasa menyampaikan maklumat itu, kami percaya mendedahkan ia kepada media adalah tidak betul,” kata Ashok.

Pada petang 24 April, Fathi dengan membawa sebilah parang telah memasuki kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil dan memecahkan patung dalam kuil tersebut.

Pada 29 April lalu, Fathi didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Ipoh atas kesalahan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...