Tuesday, 3 May 2016

Malaysia Bakal Hadapi El Nino Sekerap 2 Tahun Sekali?

Malaysia bakal hadapi El Nino sekerap 2 Tahun sekali? Malaysia bakal mengalami fenomena El Nino lebih kerap iaitu dua tahun sekali dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan faktor pemanasan global yang semakin serius.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Nurul Nadrah Aqilah Tukimat berkata, keadaan itu berlaku berikutan peningkatan suhu dunia yang semakin drastik, antaranya disebabkan peningkatan pelepasan gas karbon dioksida ke udara.

“Jika kita lihat pada 1980 sehingga 1988, fenomena ini berlaku empat tahun sekali. Tetapi dalam tempoh 1998 hingga 2015, keadaan ini boleh dikatakan berlaku lebih kerap, iaitu tiga tahun sekali tidak kiralah dalam keadaan lemah, sederhana, mahupun kuat.

“Contohnya pada 2012, kita lihat pembentukan fenomena ini telah ada walaupun ia tidak sampai ke Malaysia dan pada 2014 ia berada dalam keadaan lemah dan kemudiannya menjadi kuat tahun ini, menyebabkan kita mengalami cuaca panas melampau.

“Berdasarkan pola itu, jelas kita lihat pembentukan El Nino dua tahun sekali semakin hampir berlaku,” katanya kepada Bernama.

Nurul Nadrah Aqilah berkata, fenomena El Nino atau ‘the boy’ pada masa kini berkait rapat dengan pemanasan global akibat pelbagai faktor seperti pembangunan, pembebasan gas karbon dioksida oleh peningkatan penggunaan kenderaan selain kesan rumah hijau.

“Jika kita lihat suhu global pada Disember tahun lepas, ia mencatatkan kenaikan paling drastik dalam tempoh 120 tahun iaitu satu darjah Celcius berbanding hanya 0.2 darjah Celcius hingga 0.6 darjah Celcius sebelum ini.

Malaysia bakal hadapi El Nino sekerap 2 Tahun sekali? “Malah pada Februari lepas, Global Average Temperature (GAT) yang dikeluarkan sebuah badan mengkaji cuaca di Amerika Syarikat iaitu National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) turut merekodkan peningkatan suhu dunia +1.2 darjah Celcius.

“Sebab itu, Monsun Timur Laut yang sepatutnya membawa kuantiti hujan yang banyak ke negara ini pada Disember dan Januari lepas, menjadi lemah akibat pembentukan El Nino,” katanya.

Selain itu, katanya, kajian yang dijalankan GAT juga mendapati suhu normal negara pada akhir abad ke-21 nanti dijangka boleh mencecah 35 darjah Celcius hingga 38 darjah Celcius yang menyamai suhu Malaysia ketika mengalami El Nino ketika ini.

Mengikut kelazimannya, katanya fenomena El Nino sebelum ini berlaku empat hingga tujuh tahun sekali dan ia terjadi apabila arus laut panas menggantikan arus laut sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan.

Nurul Nadrah Aqilah berkata, penduduk di kawasan-kawasan bandar terutamanya amat terasa dengan bahang El Nino kerana tiupan angin yang terhalang dengan ketidakaturan binaan bangunan selain ketiadaan pokok dan kawasan hijau yang dapat menyerap haba panas.

“Mungkin banyak pihak tertanya-tanya mengapa negara terpaksa berhadapan cuaca panas yang melampau sedangkan Malaysia adalah negara yang terletak di garisan khatulistiwa yang sepatutnya panas dan lembap sepanjang tahun.

“Secara normalnya, negara-negara ASEAN adalah kawasan bertekanan rendah berbanding Amerika. Namun disebabkan El Nino ini, keadaan telah berubah menyebabkan angin sejuk dari kawasan Papua New Guinea telah pergi ke Amerika dan angin panas pula ke kawasan ASEAN menyebabkan kita mengalami cuaca panas.

“Keadaan inilah menyebabkan kita mengalami impak kekurangan hujan mengakibatkan masalah kekurangan bekalan air seperti yang dialami negeri-negeri di utara Malaysia,” jelas beliau.

Malaysia bakal hadapi El Nino sekerap 2 Tahun sekali? Mengenai masalah bekalan air, beliau mencadangkan pihak berkenaan memperkemaskan lagi sistem pengurusan air termasuk membina empangan sekunder bagi menampung lebihan air semasa musim tengkujuh.

Beliau berkata, kebiasaannya air berlebihan yang tidak dapat ditampung empangan semasa hujan lebat berterusan, hanya dilepaskan ke sungai-sungai sedangkan ia sewajarnya disimpan di empangan sekunder untuk menampung keperluan semasa musim kemarau.

Pada masa sama, katanya kerajaan perlu mempertimbangkan penggunaan ‘evaloc’ yang telah digunakan secara meluas di India untuk mengurangkan kadar pengewapan tinggi di empangan-empangan negara ini, lapor Bernama.


Firman Allah SWT,
 
“Telah nampak  fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” 
[TMQ ar-Rum (30):41] 
Petikan Kitab Tafsir 
Tafsir Al-Jalalain menghuraikan bahawa, “Telah nampak kerosakan di darat” maksudnya disebabkan terhentinya hujan dan menipisnya tumbuh-tumbuhan, “dan di laut” maksudnya di negeri-negeri yang banyak sungainya menjadi kering, “disebabkan perbuatan tangan manusia” berupa perbuatan-perbuatan maksiat. 
Ungkapan yang bermaksud “supaya Allah merasakan kepada mereka” dapat dibaca لِيُذِيقَهُمْ dan لِنذِيقَهُمْ; ertinya supaya Dia/Kami merasakan kepada mereka “sebahagian daripada akibat perbuatan mereka” sebagai hukumannya “agar mereka kembali” supaya mereka bertaubat daripada perbuatan-perbuatan maksiat. 
Tafsir Ibnu Kathir memetik Abu al-‘Aliah berkata, 
“Barangsiapa mengingkari Allah SWT di muka bumi ini bermakna dia telah berbuat kerosakan di atasnya, kerana keadaan yang baik di bumi dan langit bergantung kepada ketaatan manusia terhadap Allah S.W.T”. 
Rasulullah S.A.W bersabda, 
لَحَدٌّ يُقَامُ فِي الْأَرْض أَحَبّ إِلَى أَهْلهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا 
“Sesungguhnya hukum Hudud yang dilaksanakan di bumi lebih elok untuk ahlinya berbanding mereka diturunkan hujan empat puluh pagi” [HR Abu Daud]. 
Menurut tafsir Ibnu Kathir lagi, hal ini kerana jika dilaksanakan hukum hudud tersebut maka ia akan menjadi pencegahan daripada melanggar batas-batas sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. 
Tambahnya lagi, jika manusia meninggalkan maksiat kepada Allah S.W.T, ia menjadi penyebab untuk mereka memperoleh keberkatan di langit dan di bumi.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...