Monday, 18 April 2016

Walaupun Ditawar PAS Tidak Mahu Kerusi MB Terengganu

Walaupun Ditawar PAS Tidak Mahu Kerusi MB Terengganu . PAS tidak akan campur tangan dalam kemelut politik di Terengganu meskipun ditawar kedudukan Menteri Besar atau membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) negeri.

Perkara itu ditegaskan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu PAS berhati-hati dan tidak gopoh berhadapan isu politik di Terengganu.

Memetik laporan akhbar Harakah edisi 18 April hingga 21 April, ulama dari Pantai Timur itu berkata, PAS tidak mahu menumpang krisis dalaman yang berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO di negeri itu.

“Isu politik Terengganu lebih bersifat politik dalaman UMNO, yakni perebutan tokoh-tokoh UMNO untuk memegang kuasa pemerintahan yang tidak banyak berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

“Biarpun PAS mendapat kelebihan, tetapi PAS tidak mahu menumpang krisis dalaman UMNO itu, sebaliknya mengarahkan jentera PAS bekerja untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat yang lebih kuat melalui pilihan raya,” katanya.

Walaupun Ditawar PAS Tidak Mahu Kerusi MB Terengganu 

Awal bulan ini, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan UMNO negeri itu kini berhadapan krisis kepemimpinan yang kritikal.

Beliau dipetik berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hanya menunggu masa untuk ‘diturunkan’ daripada kedudukan ketua Kerajaan Negeri Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama semula dengan DAP pada masa hadapan.

Katanya, kerjasama berkenaan boleh dijalin semula antara parti Islam terbesar negara dengan parti sekular terbabit, bergantung kepada perubahan semasa.

“Perkembangan-perkembangan akan datang hal tersebut adalah tidak mustahil kerana perubahan sentiasa berlaku. Contohnya, hari ini DAP tidak menerima hudud, namun di masa depan mungkin menerimanya,” katanya, lapor FMT.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...