Thursday, 7 April 2016

Sejurus Selepas Dibentangkan, Kepincangan Laporan PAC Telah Terbongkar

Lim Kit Siang mahu Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin menjelaskan kenapa laporan interim Ketua Audit Negara dan laporan terakhirnya bulan lalu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimasukkan dalam laporan jawatankuasa itu.

Bercakap dalam bengkel dan taklimat mobilisasi Pilihan Raya Negeri Sarawak anjuran DAP, Kit Siang berkata, Hasan gagal dalam menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi PAC, kerana tidak menyertakan laporan Ketua Audit Negara dalam laporan PAC hari ini.

“Apabila Ketua Audit Negara menyerahkan laporannya, ia bukan harta pengerusi (Hasan), ia adalah harta Parlimen.

“Hasan perlu bangga beliau dapat membentangkan laporan itu, sebaliknya beliau ‘jatuh sakit’.

“Jadi, bukankah PAC ada timbalan pengerusi? Biar beliau adakan sidang media dan buat penjelasan,” katanya yang merujuk kepada Dr Tan Seng Giaw.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan hukuman ‘berat’ yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas “kesilapan teknikal”.

“Beliau ditahan…selepas memetik sebahagian daripada laporan akhir (Ketua Audit Negara), yang pada ketika itu di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi).

“Tetapi, selepas 10 pagi hari ini, selepas laporan PAC dikeluarkan, apa yang Rafizi petik tidak lagi di bawah OSA.

“Jadi, mengapa tindakan sebegitu tegas diambil terhadap sesuatu yang bersifat teknikal?” soalnya.

Kit Siang turut mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar percaya beliau lebih berkuasa berbanding Parlimen dan telah campur tangan dalam urusan wakil rakyat.





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...