Sunday, 10 April 2016

Petanda Khaled Nordin Bakal Digulingkan Makin Terserlah

Petanda Khaled Nordin Bakal Digulingkan Makin Terserlah. Mewakili Belia dari kalangan masyarakat India di Johor, saya mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menjatuhkan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor.

Sekiranya desas desus itu benar, maka individu mahupun kumpulan yang cuba menggerakkan usaha berkenaan telah menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang memberi perkenan di atas pelantikan Dato’ Seri Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar Johor selepas rakyat Johor memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional di negeri Johor pada pilihan raya umum lalu.

Sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Menteri Besar, pelbagai Inisiatif telah dibuat demi rakyat Johor semua. 

Ia bukanlah sekadar kepada pembangunan semata-mata, tetapi termasuk juga aspek kebajikan rakyat tidak kira bangsa dan kepercayaan agama mereka.

Buktinya, pada tahun lalu, beliau adalah Menteri Besar pertama dalam sejarah bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh Malaysia yang mewujudkan Dana Khas buat masyarakat India di Johor.

Dana Khas itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM4 juta pada tahun lalu dan ia dinaikkan kepada RM6 juta pada tahun ini.

Keprihatinan beliau sebagai Menteri Besar bukan sahaja terhad kepada pemberian dana semata-mata, malah beliau juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat India untuk menceburi sektor awam di Johor. 

Petanda Khaled Nordin Bakal Digulingkan Makin Terserlah

Ia adalah dengan cara memperkenalkan kuota sebanyak 7 peratus kepada masyarakat India untuk menceburi bidang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Dalam bidang Keusahawanan pula, beliau telah memperkenalkan syarat pelantikan kepada kontraktor dari kalangan masyarakat India bagi melaksanakan kerja-kerja di bawah seliaan Infra Desa Johor dengan nilai projek berjumlah RM4.3 juta. 

Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 33 kontraktor kecil di kalangan masyarakat India.

Sementara itu, dalam program kemasyarakatan pula, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India dan ini sekali gus telah memberi peluang kepada NGO-NGO berkenaan menabur bakti kepada sekalian masyarakat India di Johor.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga telah meletakkan sasaran untuk melantik seramai 30 orang pemimpin masyarakat India untuk menjadi Ketua Masyarakat bagi menjaga kebajikan mereka di segenap negeri Johor. 

Dengan cara ini, lebih mudah untuk Kerajaan Negeri mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat India diperingkat akar umbi.

Bagi memastikan masyarakat India tidak ketinggalan dalam sektor pendidikan, Dato’ Seri Mohamed Khaled telah memperkenalkan Program Inspirasi pada tahun 2015 untuk 70 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri Johor. Program pendidikan ini telah memberi manfaat kepada 2,500 murid diseluruh negeri.

Sebuah program yang dikenali sebagai ‘ Program Impian Khaled 2016 ‘ juga telah diperkenalkan pada tahun ini. Program ini akan memberi manfaat kepada 12,000 pelajar India di semua kategori sekolah di Johor. 

Inisiatif seperti ini sudah pastilah memberi peluang kepada masyarakat India untuk memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan utama seperti UPSR, PT3, SPM dan juga STPM.

Petanda Khaled Nordin Bakal Digulingkan Makin Terserlah

Justeru, bagi Belia India di Johor, kami melihat tidak ada keperluan untuk menggantikan Dato’ Seri Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar Johor. 

Meskipun baharu tiga tahun mentadbir negeri Johor, tidak keterlaluan saya katakan bahawa beliau adalah Menteri Besar terbaik yang pernah Johor miliki dalam sejarah.

Atas sebab itulah, Belia India di Johor memberi jaminan bahawa kami akan terus berdiri teguh di belakang Dato’ Seri Mohamed Khaled dan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menggantikan beliau dengan Menteri Besar baharu. 

Janganlah cuba bermain dengan api kerana anak Johor pantang digugat.

Semangat Dengkis dan Tepok sentiasa mengalir dalam sanubari kami. Johor akan tetap jadi Johor !


S Deva
Penulis mewakili Belia India Johor




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...