Friday, 1 April 2016

Patutlah Najib Suruh Adiknya Bukan Pemimpin Umno Agih Wang Kepada Jentera Parti

Tanpa menunggu lama, Nazir Razak akhirnya mengaku bahawa beliau diberi AS$7 juta atau kira-kira RM27.5 juta oleh abangnya, Najib sebelum pilihanraya umum 2013 lalu untuk diagih-agihkan kepada jentera parti.

"Saya andaikan dan percaya dengan niat baik bahawa dana itu adalah sumbangan politik yang sah.

"Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa dana itu mungkin berasal daripada sumber yang lain. Wang itu diagihkan sepenuhnya dan saya tidak menyimpannya walau sesen pun.

"Jumlah keseluruhannya dibayar dalam bentuk tunai kepada pelbagai penerima mengikut arahan Najib dan akaun berkenaan ditutup dengan baki sifar," demikian kata Nazir yang juga Pengerusi Kumpulan CIMB Bank.

Namun demikian, hari ini Nazir turut mengakui beliau tidak sepatutnya membantu abangnya mengagih-agihkan wang tersebut.

"Saya faham berdasarkan kemarahan orangramai, saya tidak sepatutnya berbuat demikian, " tulis Nazir lagi di Instagramnya.

Berikutan pendedahan The Wall Street Journal bahawa Najib memberikan wang kepada adiknya itu dan kemudian Nazir juga mengakuinya, beberapa persoalan kini sepatutnya ditimbulkan.

- Mengapa Najib menggunakan khidmat adiknya sendiri untuk mengagih-agihkah wang kepada jentera-jentera parti?

- Mengapa beliau tidak menggunakan saluran parti seperti melalui Bendahari Agung dan Setiausaha Agung untuk melakukan pengagihan itu?

- Apakah Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO ketika itu serta  Naib-Naib Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein mengetahui mengenai pemberian wang kepada jentera parti diarahkan Najib kepada Nazir itu?

- Adakah pengagihan wang kepada jentera-jentera parti dengan menggunakan khidmat adiknya itu pernah dimaklumkan secara rasmi kepada UMNO oleh Najib?

- Jika pun Najib tidak begitu mempercayai Muhyiddin, Zahid Hamidi atau Shafie Apdal berkaitan dengan wang, mengapa beliau tidak menggunakan khidmat Hishamuddin misalnya, sepupunya sendiri yang kebetulan ada kedudukan kanan dalam UMNO untuk melaksanakan tugas itu?

- Sekali lagi, mengapa Nazir yang lebih dipercayainya untuk melakukan kerja-kerja parti dan bukan jentera parti yang sah dan sedia ada serta sentiasa menyokongnya untuk berbuat demikian?

- Selain adiknya, mungkinkah ada lagi individu lain di luar parti yang turut diberikan peranan oleh Najib melakukan pengagihan wang kepada jentera parti sebelum pilihanraya 2013 itu?

Ahli UMNO patut mula menyoal Najib tentang hal ini kerana ia berkaitan parti dan perjuangannya, bukan tentang pengurusan sebuah syarikat adik-beradik atau kaum keluarga?



Shahbudin




2 comments:

  1. Saya diberitahu adalah menjadi kesalahan kepada parti2 politik malaysia untuk menerima dana dari luar negara.... benarkah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salah untuk orang lain tapi tidak salah kepada UMNO. Ikut akta SPRM semua pemberian dan derma itu salah dan perlu dilapurkan tetapi derma itu dibenarkan tak perlu dilaporkan mengikut kaedah UMNO

      Delete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...