Wednesday, 6 April 2016

Menteri Besar Ini Bakal Dijatuhkan Kerana Bukan Pro Najib

Gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin didakwa sedang giat dijalankan oleh kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan penyokong Presiden UMNO itu diketuai oleh seorang timbalan menteri yang akan menjadi Menteri Besar Johor yang baharu bagi menggantikan Mohamed Khaled.

Gerakan menjatuhkan Mohamed Khaled dikatakan bagi mengawal UMNO Johor supaya tidak menentang Najib.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang ahli UMNO, Syukur Mohamad menerusi posting di Facebooknya.

“Ada satu gerakan yang sedang dibuat oleh seorang timbalan menteri untuk mencantas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Gerakan ini kononnya hendak meletak timbalan menteri ini menjadi MB Johor bagi pihak Najib menjaga dan mengekang ahli UMNO Johor,” tulisnya.

Ketika dihubungi FMT, Syukur berkata, gerakan mencantas Mohamed Khaled kerana Menteri Besar Johor itu dilihat gagal mengawal pemimpin UMNO cawangan daripada menentang kepimpinan Presiden UMNO.

Ini kerana, katanya, gerakan menentang Najib bermula di Johor dengan penubuhan Gerakan Ketua Cabang Malaysia (GKCM).

Syukur berkata, dia mempunyai bukti terhadap dakwaan itu dan sedia diheret ke mahkamah ataupun Lembaga Disiplin parti.

“Kalau saya tiada bukti, tak mungkin saya membuat pendedahan seperti ini. Saya juga sedia diheret ke mahkamah jika ada pihak tidak berpuas hati,” katanya.

Ditanya siapakan timbalan menteri yang dimaksudkan itu, Syukur berkata, belum tiba masanya untuk didedahkan kerana banyak lagi maklumat berangkai yang akan disebarkan selepas ini secara berperingkat.

Menerusi satu lagi posting di Facebook, Syukur mendakwa, tawaran RM1 juta disediakan kepada individu yang berjaya mempengaruhi 20 cawangan UMNO di Bahagian Pagoh menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tawaran RM1 juta itu dibuat oleh timbalan menteri dari kumpulan penyokong Najib.

FMT juga menghubungi seorang ketua cawangan UMNO Pagoh yang menafikan wujudnya tawaran RM1 juta dan usaha menjatuhkan Muhyiddin sebagai Ketua Bahagian.

Sebaliknya, dia yang enggan namanya disiarkan berkata, Muhyiddin sekarang ini sedang menjatuhkan dirinya sendiri.

Dia bagaimanapun mengaku UMNO Bbahagian Pagoh berpecah kepada dua kumpulan – penyokong Muhyiddin dan kumpulan penyokong UMNO Pusat/Najib.






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...