Friday, 8 April 2016

Laporan PAC Makin Dedah Kemelut 1MDB.. Ini Buktinya

Walaupun Najib Razak mengatakan Laporan PAC mengenai 1MDB yang dibentangkan di Parlimen membuktikan wang RM42 bilion tidak hilang seperti didakwa Tun Mahathir dan Zahid Hamidi pula menyifatkan laporan itu telah membuktikan tiada "tangan ghaib"  dalam mendapat keuntungan daripada syarikat pelaburan itu, beberapa persoalan tetap memerlukan jawapannya.

Begitu juga, masih terlalu awal untuk membenarkan kenyataan Azalina Othman Said yang pantas mengampu dengan menyebut Laporan PAC menunjukkan tiada salah laku jenayah dalam 1MDB sebagaimana didakwa banyak pihak sebelum ini.

Antara persoalan yang perlu difikirkan ialah:-

- bayaran AS$1.4 bilion atau RM5.5 bilion kepada Aabar Investments PJS Limited sebagai deposit sekuriti tanpa kebenaran Lembaga Pengarah 1MDB.

Sehingga ini 1MDB juga masih belum mengemukakan pengesahan sama ada anak syarikat International Petroleum Investment Corp atau IPIC itu ialah Aabar Investments PJS Limited (British Virgin Island) atau Aabar Investment PJS (Abu Dhabi).

Meskipun 1MDB mengemukakan sijil yang dikeluarkan Offshore Incorporations Limited untuk membuktikan Aabar Investments PJS Limited adalah anak syarikat IPIC, namun Jabatan Audit Negara mendapati syarikat itu tidak tersenarai dalam kumpulan IPIC berdasarkan penyata kewangannya pada 2013 dan 2014.

Jadi, apa misteri Aabar Investments PJS Limited itu? Syarikat apa dan kepunyaan siapakah ia?

Jika Lembaga Pengarah tidak meluluskannya, siapa pula yang pandai-pandai membuat bayaran tersebut?

Bolehkah dipercayai pengurusan kanan begitu berani meluluskan bayaran sebesar itu atau adakah pihak lain yang telah memberi kebenaran dalam gelap kepada pengurusan kanannya untuk berbuat demikian?

- bayaran sebanyak AS$700 juta atau RM2.72 bilion kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang tiada kaitan dengan Petro Saudi yang menjalinkan kerjasama dengan 1MDB, juga tanpa kebenaran Lembaga Pengarahnya. 

Good Star dipercayai ada kaitan dengan Jho Low.

Oleh kerana tiada kebenaran Lembaga Pengarah, siapa yang meluluskan pembayaran itu dan mungkinkan pihak pengurusan juga begitu berani membuat keputusan sendiri mengenainya?

- dalam tempoh empat tahun, dua firma audit iaitu Ernst & Young dan KPMG telah ditamatkan perkhidmatannya oleh 1MDB kerana dikatakan sering mendesak dokumen-dokumen penting dan bertanya terlalu banyak soalan.

Kenapa langkah penamatan diambil oleh 1MDB dan bukankah sesuatu yang normal bagi syarikat audit meminta dokumen penting dan bertanya banyak soalan?

- mengapa laporan audit oleh Jabatan Audit Negara yang menjadi asas siasatan 1MDB masih diletakkan dibawah Akta Rahsia Rasmi meskipun setelah Laporan PAC dibentangkan di Parlimen?

Sebelum ini Hasan Ariffin, Pengerusi PAC ada memberitahu laporan audit itu hanya diletakkan dibawah Akta Rahsia Rasmi hanya sementara pihaknya menyiapkan laporan saja, tetapi Ambrin Buang kemudian mengesahkan kedudukan di bawah Akta Rahsia Rasmi itu tidak berubah.

Apa lagi yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum dengan terus meletakkannya di bawah Akta Rahsia Rasmi?

- bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Helmi dan pengurusan 1MDB dicadangkan oleh PAC agar disiasat oleh agensi-agensi penguatkuasa atas beberapa kelemahan pengurusan yang pernah berlaku.

Adakah Shahrol Azral sekadar kambing hitam semata-mata dalam hal ini?

Benarkah beliau dan pengurusan saja yang membuat keputusan dalam beberapa perkara dan mengabaikan keperluan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah?

Dalam hal ini juga, mengapa Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tidak dikaitkan dengan sebarang pertanggungjawaban meskipun seperti yang diketahui umum, resolusi 1MDB memerlukan tandatangan dan kelulusan Perdana Menteri dalam semua perkara besar melibatkan syarikat pelaburan itu.

Mungkinkah siasatan terhadap Shahrol Azral akan mendedahkan segala-galanya?

Apa di sebalik kata-kata Shahrol Azral bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan sewaktu menjadi CEO 1MDB?

Jika beliau yakin dirinya tidak melakukan kesalahan sedangkan PAC melihatnya seolah-olah ada melakukan kesalahan, siapakah yang sebenar-benarnya terlibat dalam kesalahan itu?

- mengapa secara tiba-tiba Lembaga Pengarah 1MDB menawarkan untuk meletakkan jawatan sebaik Laporan PAC dibentangkan, sementara sebelum ini Arul Kanda Kandasamy juga turut mengumumkan hasrat mahu mengundurkan diri?

Apakah mereka ingin membebaskan diri atau ia menunjukkan seolah-olah Lembaga Pengarah sedia memikul tanggungjawab atas beberapa kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan PAC serta dalam masa yang sama memperlihatkan pihak lain kelihatan putih bersih daripada sebarang kekotoran?

Jika perletakan jawatan itu diterima, siapa pula yang bakal menduduki Lembaga Pengarah 1MDB selepas ini?

Selain itu, Laporan PAC ini juga hanya menyingkap persoalan-persoalan yang banyak berlegar dalam negara saja, itu pun belum lagi berakhir sepenuhnya. Selain penyiasatan oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara terhadap Shahrol Azral dan pengurusan 1MDB mungkin mendedahkan perkara-perkara lain, jangan lupa  bahawa tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Switzerland, Singapura, Hong Kong, Luxembourg dan Australia belum lagi menutup failnya, khususnya berkaitan penggubahan wang haram yang dikaitan dengan syarikat pelaburan strategik itu. 

Segala-galanya belum berakhir lagi, khususnya bagi Najib yang menubuh dan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.


Shahbudin




1 comment:

  1. Dah la tu....Bila pula jadi penganilis keewangan
    Pergi la tanya Takyuddin tu...tak kan jadi pekak dan tuli masa penyiasatan
    Habis tu nak tunggu laporan ASWJ dan Swk Report baru semua ok..hijrahlah la ke US atau UK

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...