Thursday, 21 April 2016

Kakitangan MAS Bidas Christoph Mueller Kerana Mahu Letak Jawatan

Kakitangan MAS bidas Christoph Mueller yang mahu letak jawatan. Tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAB), Christoph Mueller melepaskan jawatannya pada September ini, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Kesatuan Kebangsaaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mueller tidak patut lari daripada tanggungjawabnya dan meninggalkan seluruh ‘anak kapalnya’ menyelesaikan masalah sendiri.

Ini kerana, jelasnya, beliau telah memberi jaminan akan mengemudi MAB sehingga syarikat penerbangan nasional itu meraih keuntungan.

“Macam mana Mueller boleh meninggalkan Malaysia Airlines separuh jalan, apabila pembayar cukai telah berbelanja besar untuk membawa beliau ke sini, bagi memulihkan syarikat penerbangan itu.

“Ini adalah tanggungjawab berat yang patut difikirkannya sejak awal lagi. Ingat apa yang dijanjikan kepada semua, termasuk 6,000 kakitangan yang diberhentikan, kerana beliau mendakwa tindakan itu boleh menyelamatkan MAS (Malaysia Airlines System Berhad),” katanya.

Pada masa sama, NUFAM turut menyalahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), kerana mengatakan Mueller adalah calon terbaik untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

“Sekarang, dengan mudah beliau mengeluarkan memo memaklumkan akan berhenti daripada menjalankan tanggungjawabnya.

“Mueller perlu memberi alasan lebih baik, selain sebab peribadi. Kita boleh terima, jika beliau tidak sihat atau atas alasan kesihatan, tetapi untuk alasan selain daripada ini, kami tidak boleh terima,” tegasnya.

Kakitangan MAS bidas Christoph Mueller kerana mahu letak jawatan. Menurut kesatuan itu, Mueller perlu menyelesaikan tugasnya terlebih dahulu sebelum berundur atau Khazanah perlu mengambil semula semua kakitangan yang diberhentikan sebelum ini.

“Kami telah kehilangan ramai pekerja yang baik, hanya disebabkan kegagalan pengurusan.

“Kami belum nampak sebarang hasil positif, sejak MAB dilancarkan pada 1 September 2015,” katanya.

Sehubungan itu, NUFAM mahu Mueller mempertimbangkan keputusan melepaskan jawatannya dan terus berkhidmat untuk mengotakan janji-janjinya kepada 14,000 kakitangan MAS serta rakyat Malaysia.

Semalam, Mueller yang juga Pengarah Urusan MAB dilaporkan sebagai berkata, beliau akan melepaskan jawatannya pada September ini, namun berhasrat untuk terus berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif di syarikat itu.

Mueller menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif pada 1 Januari 2015 dan memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAB pada 1 Mac 2015.

Kakitangan MAS bidas Christoph Mueller kerana mahu letak jawatan. Beliau menggantikan Ahmad Jauhari Yahya sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, pada 1 Mei 2015.

MAB dalam satu kenyataan semalam berkata, Mueller yang memberi sumbangan besar dalam usaha penyusunan semula Malaysia Airlines, sudah mengemukakan hasratnya untuk berundur, sebelum kontrak tiga tahunnya berakhir.

Namun, bagi memastikan kelangsungan serta usaha mencari penggantinya berjalan lancar, Mueller akan berkhidmat sepanjang tempoh notis selama enam bulan sehingga September 2016, lapor FMT.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...