Saturday, 9 April 2016

Imej Kerajaan Negeri Sarawak Tercalar Dengan Kejadian Memalukan Ini..

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menjadi ahli politik pembangkang terbaru yang dihalang memasuki negeri itu.

Menurutnya, beliau menaiki pesawat ke Sarawak pada jam 5.10 petang semalam bersama Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong telah tiba di Bintulu pada 7.40 petang. Namun setelah mendarat, dua orang pegawai imigresen telah menunggu kehadirannya.

“Dua orang pegawai imigresen telah menunggu saya di bangunan imigresen. Mereka menegur saya dan bertanyakan, adakah saya ‘Madam Teo’, kemudian mereka memberitahu yang saya seharusnya tahu mengapa mereka menunggu,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Teo yang juga merupakan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP juga menyatakan pegawai berkenaan membawanya ke pejabat imigresen. Seterusnya pada jam lapan malam, beliau dihantar pulang menaiki pesawat yang sama ke Kuala Lumpur.

“Pegawai Lee dan Ismail yang terlibat menahan bertindak sopan dan menyatakan mereka bertindak sedemikian kerana hanya menjalankan tugas,” katanya lagi.

Malah, Teo turut memberitahu bahawa beliau langsung tidak mendapat sebarang maklumat mengenai dirinya yang dihalang di Sarawak.

“Sudah tentu saya mendengar ramai Ahli Parlimen yang telah disenarai hitam. Tetapi Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin dibenarkan memasuki Sarawak pada minggu lalu.

“Jadi, saya ingatkan saya juga dibenarkan masuk. Lagipun, berapa ramai mereka sangat yang mengenali saya di Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, Kok Seong tidak dihalang oleh mana-mana pegawai imigresen dan dibenarkan memasuki negeri berkenaan.

Mereka adalah antara kumpulan pertama pemimpin DAP yang tiba di Bintulu untuk menghadiri majlis makan malam mengutip dana, menjelang PRN Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem sebelum ini telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri itu akan dibubarkan pada 11 April ini, laporan Free Malaysia Today.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...