Monday, 18 April 2016

Gegak Gempita 1MDB Bakal Bergema Hari Ini

Gegak Gempita 1MDB Bakal Bergema Hari Ini. Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, akan mula memburu individu-individu yang bertanggungjawab terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, gerakan memburu individu terlibat akan dibuat menerusi kempen #1MDBWanted, dimana jutawan, Low Taek Jho antara individu pertama akan disenarai berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Esok Isnin 18 April, saya akan mulakan kempen #1MDBWanted dengan laporan terhadap Jho Low. Setiap minggu itu tumpu kepada individu berbeza berdasarkan penemuan di dalam Laporan PAC mengenai 1MDB.

“Laporan polis terhadap Jho Low akan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada jam 11.30 pagi,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, menyeru pimpinan Pakatan Harapan, serta aktivis pro pembangkang untuk turut serta membuat laporan polis terhadap individu yang terlibat, kerana padanya hanya dengan cara itu sahaja dapat mengheret mereka memberi penjelasan berhubung penglibatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

Gegak Gempita 1MDB Bakal Bergema Hari Ini

“Saya minta jasa baik mereka yang membuat laporan #1MDBWanted menghantar maklumat laporan (seperti nombor laporan dan lain-lain) kepada saya di pautan yang saya akan umumkan esok.

“Hanya tekanan rakyat yang akan menggoncang mereka yang terlibat di dalam 1MDB untuk tampil memberi kenyataan mengenai penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam skandal ini,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mengugut akan mengeluarkan Senarai Rakyat Dikehendaki yang mengandungi nama-nama individu ada kaitan dengan 1MDB.

Menurutnya, senarai itu akan disiarkan, jika mereka yang melindungi individu bertanggungjawab terhadap hutang 1MDB tidak tampil dan mendedahkan maklumat yang boleh membuktikan salah laku “orang-orang atasan”.

Beliau kemudiannya menamakan jutawan, Low Taek Jho; Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Casey Tang sebagai orang yang diburunya, lapor FMT.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...