Thursday, 28 April 2016

EAIC Dedah Tahanan Mati Didera Polis

EAIC dedah tahanan mati didera Polis. Anggota polis yang menyoal siasat N Dharmendran bertanggungjawab terhadap kematian tahanan itu dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), pada 21 Mei 2013.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam berkata, siasatan suruhanjaya itu mendapati, kematian Dharmendran berpunca daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh anggota polis.

Jelasnya, laporan bedah siasat dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati, wujud 52 kecederaan dalam bentuk kesan lebam pada mayat Dharmendran.

Kesan lebam itu dipercayai berpunca daripada hentakan objek atau benda tumpul yang mengakibatkan kehilangan darah dengan banyak sehingga menyebabkan renjatan hipovolemia.

EAIC dedah tahanan mati didera Polis. “Terdapat dua dawai kokot tertanam di telinga si mati, iaitu satu di telinga kanan dan satu di telinga kiri yang meninggalkan kesan berlubang.

“Pakar forensik mengesahkan dawai kokot ini diketip di telinga si mati, semasa si mati masih hidup yang dianggarkan tidak lebih daripada dua hingga tiga hari, sebelum tarikh bedah siasat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Menara Usahawan, hari ini.

Lebih mengejutkan, katanya, EAIC turut mendapati, laporan polis berhubung kematian Dharmendran yang dibuat anggota sentri Lokap D9 atas arahan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi IPKKL mengandungi maklumat palsu.

“Suruhanjaya mendapati ada perlakuan salah laku yang serius melibatkan pegawai-pegawai kanan PDRM untuk melindungi fakta sebenar keadaan kematian si mati.

“Mereka telah bertindak mereka-reka maklumat yang diketahui sebagai tidak benar atau palsu yang menghalang siasatan kes dilakukan secara adil dan saksama,” katanya.

Sehubungan itu, Yaacob berkata, laporan siasatan EAIC itu akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Peguam Negara, hari ini.

Beliau berharap laporan setebal 229 muka surat itu boleh dijadikan bukti untuk mendakwa anggota polis terbabit atas pemalsuan maklumat dan pengubahan dokumen.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013, atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.

EAIC dedah tahanan mati didera Polis. Pada 26 Februari 2016, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memerintahkan Inspektor S Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, pada 12 Disember 2014, Datuk Kamardin Hashim yang ketika itu merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan empat anggota polis itu daripada pertuduhan membunuh Dharmendran, kerana mendapati tiada kes prima facie terhadap mereka.

EAIC telah mengadakan lima sesi pendengaran awam kes Dharmendran yang dibuka kepada orang awam dan pihak media, mulai 27 Julai 2015 hingga 16 November lalu, lapor FMT.



No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...