Tuesday, 12 April 2016

Ceramah Dr. Zakir Naik Di Kuala Lumpur Dan Melaka Tetap Diteruskan

Ceramah Dr. Zakir Naik Di Kuala Lumpur Dan Melaka Tetap Diteruskan. Penganjur siri syarahan umum Dr Zakir Naik menegaskan, dua program besar yang akan diadakan hujung minggu ini tetap diteruskan, meskipun mendapat bantahan sesetengah pihak.

Pengarah program, Abu Shariz Sarajun Hoda berkata, pihaknya turut mempelawa mereka yang keliru dengan maklumat membabitkan pendakwah antarabangsa itu supaya menghadiri syarahan umum di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi laluan istimewa kepada mana-mana pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghadiri dan mendengar sendiri siri ceramah bertajuk “Is The Quran God’s Word?”

“Kami bersedia memperuntukkan sebahagian besar tiket masuk dan kerusi hadapan, supaya pihak terbabit dapat mendengar dan bertanya sendiri kepada Dr Zakir Naik.

“Datanglah dan dengar sendiri, sama ada ceramah Dr Zakir Naik yang juga Tokoh Maal Hijrah 2013 menyampaikan sesuatu yang salah sehingga menimbulkan ketidakselesaan antara agama dan kaum,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pihak tertentu kononnya ceramah Dr Zakir Naik mengandungi unsur fitnah, menghina dan memburukkan pihak lain.

Ceramah Dr. Zakir Naik Di Kuala Lumpur Dan Melaka Tetap Diteruskan

Mengulas proses kelulusan permit program itu, jelasnya, ia berjalan lancar tanpa sebarang penolakan.

Mengenai arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya penganjur program di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) pada 17 April ini dibatalkan, Abu Shariz berkata, pihaknya belum menerima sebarang surat rasmi berhubung pembatalan tersebut.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang surat rasmi berhubung arahan pembatalan tersebut dan sehingga kini, program tersebut (di Melaka) masih diteruskan dan tidak akan dibatalkan.

“Kita juga telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara dan kita akan tunggu maklum balas daripada pihak polis,” katanya yang berharap tajuk sama, iaitu ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ dapat dikekalkan untuk program di Melaka.

Tambahnya, program itu akan dianjurkan mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.

Terdahulu, Naib Canselor UTEM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib mengumumkan universiti itu menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi program ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ yang dijadual disampaikan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik, Ahad ini.

Keputusan itu dibuat bagi mematuhi arahan Ketua Polis Negara, demi menjaga ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini, lapor Free Malaysia Today.




1 comment:

  1. krn inginkan undi minoriti, sanggup jual agama...

    kalau dlm ceramah DZN tu nanti ada fitnah thdp kelompok tertentu, sila samanlah...

    tp kalau nak saman jgn pilih hari selasa. hari tu telah dikhaskan utk najib smn wsj.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...