Tuesday, 8 March 2016

Teori Paling Popular Misteri Kehilangan MH370

Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, 2 tahun lalu mencetuskan pelbagai teori situasi sebenar yang berlaku kepada pesawat penumpang Boeing 777.

Kekeliruan dan laporan bercanggah pihak berkuasa Malaysia meyakinkan pengkritik kehilangan pesawat tanpa sebarang penjelasan itu menyembunyikan konspirasi.

Antara 4 teori paling popular ialah:

Serangan pengganas

Sejurus selepas kehilangan pesawat itu, beberapa agensi berita antarabangsa melaporkan MH370 berkemungkinan menjadi mangsa serangan pengganas.

Teori pesawat dirampas dan dipaksa mendarat di Afghanistan di mana krew dan penumpangnya ditawan mula tersebar.

Penyiasatan sejak 2 tahun lalu bagaimanapun tidak menemui sebarang bukti pesawat itu dirampas.

Juruterbang bunuh diri

Antara salah satu penjelasan yang timbul bagi kehilangan mengejut MH370 ialah juruterbangnya membunuh diri.

Pegawai terlibat dalam penyiasatan tidak menolak kemungkinan pesawat itu dikawal sehingga penghujungnya, menjadikan sama ada kapten pesawat, Zaharie Ahmad Shah atau pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid menjadi suspek teori bunuh diri ini.


Sementara pegawai rasmi Malaysia menolak kemungkinan itu, mengatakan tiada bukti kukuh untuk menyokongnya, ketua penyiasat daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia Martin Dolan berkata, mereka akan melihat kembali kepada teori itu.

Kebakaran

Salah satu teori ialah kebakaran di dalam pesawat yang membunuh semua penumpang dan anak kapal sebelum memusnahkan badan pesawat.

Teori ini disokong atas alasan pesawat itu terbang dalam jarak jauh menggunakan mod automatik.

Ditembak jatuh

Teori popular lain ialah ketika MH370 hilang, ia ditembak jatuh tentera Amerika Syarikat (AS) ketika menghampiri Diego Garcia, pangkalan tentera negara "polis dunia" itu di Lautan Hindi.

Menurut Marc Dugain, bekas ketua syarikat Perancis Proteus Airline, pesawat itu berkemungkinan dianggap ancaman pengganas seperti serangan 9/11.

Teori Dugain dinafikan pegawai AS, dan berkata beliau diarahkan menghentikan siasatannya oleh pegawai risikan British.

Teori lain yang tersebar luas adalah penculikan makhluk asing sehinggalah ditawan Korea Utara. 

Namun pesawat itu masih belum ditemui sejak 2 tahun lalu, bukti kukuh mengenai MH370 hanyalah penemuan serpihan di kepulauan di Perancis pada Julai lalu.

Penyiasat juga melihat penemuan serpihan minggu lalu, dipercayai daripada pesawat malang itu.

Namun, dengan penyiasatan rasmi dijangka tamat Jun tahun ini, keluarga dan sahabat handai penumpang pesawat khuatir penantian mereka untuk kebenaran misteri kehilangan MH370 akan berlarutan.





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...