Wednesday, 9 March 2016

Pengganti Zeti Akhtar Aziz Adalah...

Dalam perkembangan politik yang panas, tumpuan terhadap perlantikan Gabenor Bank Negara Malaysia yang baru perlu diberikan perhatian sepenuhnya. Jangan biarkan berita-berita seperti cubaan penculikan setahun lepas mengalihkan perhatian rakyat daripada perkara yang lebih penting.

PAS telah menegaskan bahawa BNM adalah satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Calon yang menggantikan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mestilah dari kalangan mereka yang bebas politik.

Dengan kemelut 1MDB yang masih bergema di seluruh dunia, mereka yang pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon gabenor BNM yang baru.

Ini penting untuk menjaga imej dan integriti BNM memandangkan PM Najib sehingga hari ini masih enggan menyaman WSJ.

Untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan antarabangsa terhadap BNM, Gabenor Bank Negara Malaysia yang baru mestilah seorang yang berani dan tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti untuk melakukan perkara yang betul apabila berdepan dengan isu seperti 1MDB dan ekonomi yang mencabar.

PAS memohon agar Tan Sri Zeti Akhtar Aziz diberikan lanjutan kontrak sekiranya laporan audit 1MDB memerlukan beliau mengambil tindakan tertentu. Biar Tan Sri Zeti memenuhi hasratnya untuk melihat isu 1MDB diselesaikan sebelum bersara.

Peringatan Tan Sri Zeti bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik perlu diambil serius. Kerajaan wajib melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM.

Sehingga kini, PM masih tidak memberikan sebarang petanda bahawa beliau bersetuju dengan Zeti Akhtar Aziz dalam perkara ini.

Rakyat menanti jaminan PM bahawa Bank Negara akan bebas dari campurtangan ahli politik. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.


Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...