Saturday, 5 March 2016

Najib Tidak Tidur Lena Mengenangkan Peristiwa Ini?

Tun Dr Mahathir Mohamad duduk bersama sekutu lama dan bekas musuh politiknya, mendapatkan sokongan untuk menandatangani deklarasi bagi menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

Di antara yang bersamanya ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

"Hanya ada satu persamaan di kalangan kami, sebagai rakyat kami melahirkan kebimbangan dan kerisauan berhubung apa yang berlaku di negara kita.

"Kami mahu menandatangani deklarasi yang termasuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri," kata Dr Mahathir pada sidang media khas "Selamatkan Malaysia" yang padat dengan petugas media di Kuala Lumpur hari ini.

Di antara yang hadir ialah Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis Hishamuddin Rais.

Deklarasi itu ditandatangani seramai 58 individu yang menyokong penyingkiran Najib termasuk isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir mengetuai deklarasi itu dan membacakannya di hadapan media.

"Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada kerajaan yang dipimpin Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integrity institusi-institusi nasional," kata Dr Mahathir membacakan deklarasi itu pada sidang media di Pusat Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Presiden PKR, Azmin berkata mereka menyokong sepenuhnya gerakan yang dilancarkan Dr Mahathir dan komited ke arah melakukan perubahan dalam negara.

"Kami sokong supaya Najib dibuang serta-merta dan kami juga komited kepada perubahan yang perlu dilakukan dalam sistem negara ini," kata beliau pada sidang media sama.

Ambiga pula menyifatkan langkah yang diambil mereka yang menandatangani deklarasi hari ini bertujuan untuk mengembalikan semula demokrasi yang hilang akibat tindakan Najib.

"Kita perlu kembalikan demokrasi dalam negara, kita di sini layak untuk mendapat lebih baik dan rakyat layak mendapat lebih baik," katanya.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir pada majlis sama juga senada dengan Dr Mahathir dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada deklarasi itu.

Deklarasi itu antara lain menyentuh mengenai skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), wang derma RM2.6 bilion dan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat akibat polisi kerajaan yang menyusahkan rakyat, antaranya seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kadar tol.

Ia juga menggesa supaya sebarang polisi yang membelakangi Perlembagaan negara dimansuhkan dan memulihkan semula integriti negara khususnya dalam institusi penguatkuasaan yang dilihat semakin tidak telus.

"Kami menggesa supaya pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih dan pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Bank Negara dan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Negara)."





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...