Wednesday, 2 March 2016

Habislah Najib Kali Ni!!

Perhimpunan 27 Mac kini menjadi semakin membesar hari demi hari dengan pelbagai pihak melangkaui batasan parti politik akan menyertainya, kata individu yang mengambil inisiatif memulakan program ini, Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas menteri undang-undang itu menjangkakan, 3 resolusi akan dibincangkan dalam perhimpunan yang akan diadakan secara tertutup itu, dengan tuntutan Datuk Seri Najib Razak berundur bakal menjadi keutamaan.

"Saya juga mencadangkan resolusi kedua adalah pembentukan Tribunal Rakyat untuk membolehkan rakyat tahu cerita sebenarnya tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dan resolusi ketiga adalah yang paling penting, iaitu apa selepas ini, yang akan menentukan ke mana hala tuju gerakan menuntut perubahan ini," kata Zaid kepada The Malaysian Insider.

Sehingga kini, Zaid mendakwa beliau berjaya mendapat persetujuan semua pemain utama politik negara sekarang untuk menyertai himpunan ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta tokoh pembangkang termasuk Datuk Husam Musa daripada PAS, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli serta Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

"Perhimpunan ini melangkaui batasan parti politik," kata Zaid yang turut memberitahu, beliau turut menjemput Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk turut serta tetapi besar kemungkinan beliau tidak akan hadir ekoran suasana dalam PAS sekarang ini.

Zaid juga menolak ada gerakan berbeza antara apa yang beliau lakukan dengan yang lain dengan berkata beliau hanya “inisiator” kepada perhimpunan 27 Mac saja.

Sebelum ini, terdapat usaha mengadakan gerakan mendesak pengunduran Najib termasuk "Selamatkan Malaysia" yang dilancarkan Husam, bekas naib presiden PAS, di Kulai beberapa hari lepas.

Dr Mahathir, yang keluar Umno semalam, tanda protes terhadap Najib, juga berkata beliau mahu sebuah "kumpulan teras" ditubuhkan untuk menggesa Najib berundur.

Zaid yakin penyelarasan sedang berlaku antara semua usaha yang berbeza ini.

"Saya tidak tahu sama ada saya termasuk dalam 'kumpulan teras' yang disebut Dr Mahathir tetapi saya sudah beberapa kali menyertai mesyuarat bersama Dr Mahathir dan beberapa yang lain," kata Zaid.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan apakah beliau terlibat dengan kumpulan yang dimaksudkan Dr Mahathir itu.

Katanya, antara yang turut berada dalam mesyuarat yang disertai Zaid dan Dr Mahathir ialah Muhyiddin sendiri, serta juga pemimpin daripada Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Zaid mengambil sikap tidak mahu melayan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang melabelkan beliau sebagai orang keliru.

"Pada awalnya saya bercadang membuat laporan polis di balai Dang Wangi. Namun selepas berfikir semula, saya fikir saya tidak perlu melayan beliau," kata Zaid.

Khalid menyifatkan Zaid seorang yang keliru apabila berkata perhimpunan 27 Mac bukan satu perhimpunan awam tetapi akan diadakan di tempat tertutup sedangkan dalam Facebooknya, Zaid menggesa rakyat Malaysia berani tampil menyertai perhimpunan ini.

Khalid memberikan amaran, Zaid akan berdepan dengan tindakan jika perhimpunan itu merebak ke jalanan.





2 comments:

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...