Saturday, 5 March 2016

Bandar Ini Bakal Tenggelam 50 Tahun Lagi

Risiko Teluk Intan, kira-kira 100 kilometer dari sini, akan tenggelam dalam tempoh 50 tahun lagi bukan semata-mata berpunca daripada hakisan, tetapi berkait rapat dengan perubahan iklim global.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perubahan iklim global yang berlaku ketika ini antara lain menyebabkan berlakunya angin kencang serta ribut taufan dengan lebih kerap.

“Apabila ini berlaku, ribut taufan yang melanda akan menyebabkan ombak di lautan atau pantai memukul tebing dengan lebih kerap sehingga membawa kepada hakisan pantai.

“Keadaan ini sebenarnya amat berisiko terutama kepada kawasan-kawasan rendah untuk dinaiki air dan seterusnya tenggelam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata sebahagian bandar Teluk Intan akan tenggelam seterusnya menjadi pulau dalam tempoh 50 tahun lagi jika hakisan tebing di sekitar Sungai Perak tidak diatasi.

Sehubungan itu, Mah berkata kerajaan telah memperuntukan RM50 juta lagi untuk membina ban atau tambak batu di tebing Sungai Perak bagi mengatasi masalah hakisan tebing dan banjir.

Wan Junaidi berkata perubahan iklim global bukan hanya akan memberi kesan kepada Teluk Intan, malah berisiko kepada kawasan rendah yang lain di seluruh negara amnya dan dunia khususnya.

Sementara itu, Ketua Unit Permodelan Alam Sekitar, Pusat Penyelidikan Forensik Alam Sekitar (ENFORCE) Universiti Putra Malaysia Dr Hafizan Juahir berkata hakisan di Sungai Perak sekiranya tidak diatasi sememangnya boleh menenggelamkan Teluk Intan dan kawasan sekitar.

Menjelaskan secara lanjut, Hafizan berkata proses hakisan boleh menghilangkan sekurang-kurangnya lima meter tanah di daratan dalam tempoh setahun dan jika dibiarkan dalam tempoh yang lama, kesannya akan lebih besar.

“Bayangkan kalau setahun terhakis lima meter, kalau 20 tahun dah hilang 100 meter…lama kelamaan tanpa kita sedar permukaan tanah di dataran akan hilang dan ia akan ditenggelami air,” katanya.

Mengenai keperluan membina ban atau tambak batu bagi mengurangkan impak hakisan, Hafizan berkata pembinaan struktur itu perlu diteliti dan dikaji dengan sebaiknya, termasuk dari segi kekuatan.

“Kalau struktur benteng batu atau pasir tak dibuat dengan betul, kita bimbang pukulan ombak akan melencong dan seterusnya beri impak pula kepada kawasan lain,” katanya.





No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...