Wednesday, 30 March 2016

Ada Bukti Ku Li Edar Akuan Bersumpah Di Parlimen Untuk Singkir Najib

Anthony Loke berkeras mengatakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pernah mengedarkan akuan berkanun (SD) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada ahli-ahli Parlimen lain.

Bercakap kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata “wakil daripada kem Tengku Razaleigh” telah mengedarkan SD itu antara bulan Julai dan Sept tahun lalu.

Wakil rakyat DAP itu juga berkeras mempertahankan bukan sahaja dokumen itu wujud, tetapi kewujudannya diketahui oleh semua ahli-ahli Parlimen Pembangkang. Malah, seorang daripada mereka mendakwa bertemu Ku Li.

“Sekiranya beliau mahu menafikannya sekarang ini, kita tidak boleh buat apa-apa.

“Ada usaha untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen. Kem Tengku Razaleigh meminta kami (DAP) menandatanganinya.”

Menurut Anthony, wakil-wakil rakyat DAP bagaimanapun tidak mahu menandatangani SD itu kerana mahu memastikan ia mendapat sokongan secukupnya terlebih dahulu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata Ku Li mendesak usul tiada percaya terhadap Najib.

Bagaimanapun, Ku Li hari ini nafi mengedarkan dokumen itu dan juga mendakwa tidak tahu mengenainya.

“Saya tidak mahu kata beliau (Ku Li) berbohong, cuma kami kecewa,” tambah Anthony.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tidak mahu mengesahkan atau menafikan pembabitan Ku Li dalam usul tidak percaya itu, sebaliknya berkata Ku Li telah menunjukkan bahawa beliau tidak bersungguh dengan reformasi nasional yang hanya boleh dilaksanakan sekiranya Najib disingkirkan.

“Apa yang telah berlaku atau tidak berlaku di masa lalu tidak relevan,” katanya kepada FMT.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...