Thursday, 25 February 2016

Zeti Akhtar Aziz Hadapi Situasi Paling Sukar

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk melihat penyelesaian kepada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sukar untuk direalisasikan.

Dr Mahathir berkata hari ini, berdasarkan situasi semasa, wujud pelbagai halangan terhadap usaha pihak yang terbabit menyiapkan siasatan tersebut.

"Saya rasa ia sangat sukar, tapi ia satu niat yang baik," kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, mengulas kenyataan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum ini berkata, beliau berharap dapat melihat siasatan ke atas 1MDB selesai sebelum tempoh 5 tahun perkhidmatannya berakhir April ini.

"Itu apa yang saya nyatakan dan ke arah itulah hala tuju usaha saya, (iaitu), menyelesaikannya (siasatan 1MDB) semasa masih di dalam tempoh perkhidmatan saya, supaya gabenor selepas ini boleh memulakan tugasnya dengan rekod yang bersih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada beliau yakin siasatan ke atas skandal 1MDB dapat diselesaikan semasa tempoh perkhidmatannya sebagai gabenor bank negara.

Siasatan Bank Negara berhubung 1MDB ditolak sebanyak dua kali oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Oktober tahun lepas.

Apandi mengumumkan keputusan Jabatan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan ke atas 1MDB kerana membuat pendedahan tidak tepat dalam memohon kebenaran membuat pelaburan di luar negara.

Keputusan itu dibuat walaupun selepas menerima rayuan bank pusat itu, kerana menurut Apandi, tidak terdapat bukti lanjut.






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...