Thursday, 4 February 2016

Umno Makin Sukar Pertahan Kedah.. Kata Penganalisis

Umno Makin Sukar Pertahan Kedah.. Kata Penganalisis. Ketika kemelut menteri besar Kedah melabuhkan tirainya semalam, sumber dalaman Umno negeri melahirkan kebimbangan, apa yang berlaku mungkin mengakibatkan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) di negeri itu tumbang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beberapa daripada mereka berkata, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mungkin berjaya menghapuskan musuh dalamannya tetapi tindakan yang diambil beliau mempertaruhkan masa depan politik Kedah.

Bagaimanapun, penganalisis merasakan di sebalik kesukaran dihadapi Umno untuk mengekang kejatuhan politik susulan kemelut menteri besar ini, episod tersebut tidak akan secara automatik memberi manfaat kepada parti pembangkang kerana mereka masih tidak bersatu.

"Kita perlu ingat, rakyat Kedah sudah hidup di bawah pemerintahan pembangkang sebelum ini dan walaupun PAS tidak banyak membawa pembangunan, tidak ada sesiapa yang menderita," kata seorang veteran Umno Kedah yang enggan dikenali.

"Jadi, kemungkinan Kedah jatuh kembali kepada PAS sangat jelas," katanya yang sudah 40 tahun bersama Umno kepada The Malaysian Insider.

Penyingkiran tidak wajar

Bagi kebanyakan rakyat Kedah, penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir dianggap tidak wajar dan sukar bagi Umno untuk meyakinkan mereka sebaliknya, kata seorang pemimpin Umno cawangan Kedah.

Bukan sahaja beliau merupakan menteri besar yang popular, malah beliau menjadi penyebab utama mengapa rakyat Kedah mengundi semula Umno pada 2013, kata pakar sains politik Prof Shaharuddin Badaruddin.

Beliau tidak terlibat dalam apa-apa skandal malah beliau juga tidak mempunyai sebarang dasar yang menjadi perbalahan.

"Jika Najib mahu menggunakan isu urus tadbir Mukhriz sebagai alasan menyingkirkan menteri besar Kedah itu, mengapa (Menteri Besar Pahang Datuk Seri) Adnan Yaakob tidak disingkirkan?" kata pemimpin cawangan itu.

Adnan masih memegang jawatan menteri besar walaupun gagal menangani isu pencemaran berikutan perlombongan bauksit yang menjadikan sungai dan pekan di Pahang bertukar merah.

Umno Makin Sukar Pertahan Kedah.. Kata Penganalisis

Sukar untuk menyembunyikan hakikat yang penyingkiran Mukhriz adalah sebahagian daripada usaha membersihkan pengkritik Najib dalam Umno dan hanya kerana beliau tidak sefahaman dengan "warlords" (panglima perang) parti itu.

"Terdapat jurang perbezaan yang cukup besar antara apa yang panglima Umno Kedah mahukan dan apa yang rakyat Kedah mahukan," kata pemimpin cawangan itu.

"Rakyat Kedah mahukan seorang menteri besar yang bersih, muda, dinamik dan berkemampuan menjalankan tugas. Itulah apa yang ada pada Mukhriz tetapi bagi Umno Kedah, ini tidak cukup."

Kamarul Azman Habibur Rahman, ahli Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Umno yang kritis terhadap Najib, berkata maklum balas yang diterima daripada pemimpin cawangan Umno Kedah adalah suram.

"Kita akan lihat tindak balas penyokong setia Umno di Kedah dalam pilihan raya akan datang. Mereka mungkin tidak mengundi pembangkang tetapi mereka tidak akan keluar untuk mengundi Umno."

Walaupun Najib masih boleh bergantung kepada pihak pengurusan-pertengahan parti itu, iaitu bahagian-bahagian, menyokongnya dalam pilihan raya, namun mereka masih perlu bergantung kepada ketua cawangan melaksanakan gerak kerja merayu undi.

Kamarul berkata berdasarkan kepada suasana di Kedah sekarang, kebanyakan aktivis itu mungkin akan berdiam di rumah semasa tempoh berkempen.

"Apa cara sekalipun, kita akan melihat penurunan dari segi bilangan pengundi BN, akan wujud lebih ramai pengundi atas pagar dan mereka ini mungkin akan berpaling kepada pembangkang," kata Kamarul.

Menangani rasa tidak puas hati

Pemimpin Umno bahagian Kedah berharap tempoh masa 2 tahun sebelum pilihan raya akan datang dan ingatan politik yang singkat akan cukup untuk meredakan rasa tidak puas hati rakyat.

"Tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah, ahli Umno tidak lupa, seperti kes (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kes Tengku Razaleigh Hamzah.

"Ketika krisis tercetus, ahli Umno mengundi pembangkang," kata veteran Umno Kedah itu.

Pada pilihan raya 1990, BN kalah di Kelantan kerana parti serpihan pimpinan Tengku Razaleigh, Semangat 46.

Kemudian pada pilihan raya umum 1999, BN kalah di Terengganu dan hampir tumbang di Kedah disebabkan gerakan reformasi Anwar.

Terdapat juga kebimbangan adakah pengganti Mukhriz, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan dapat memulihkan rasa tidak puas hati rakyat, kata Shaharuddin, pensyarah di Universiti Selangor.

Umno Makin Sukar Pertahan Kedah.. Kata Penganalisis

Ini kerana, Ahmad Bashah mengetuai kempen menggulingkan Mukhriz tetapi timbul persoalan berhubung kemampuan beliau sendiri.

"Untuk berjaya, Ahmad Bashah perlu melakukan lebih baik daripada Mukhriz. Tetapi adakah beliau benar-benar mampu mengubah Kedah dalam tempoh 2 tahun?"

Satu-satunya yang boleh melegakan BN dan Najib adalah hakikat yang parti pembangkang masih berpecah dan tidak dapat bersatu membentuk alternatif yang kukuh kepada rakyat Kedah.

PAS adalah pesaing utama Umno di Kedah tetapi ia juga bermusuhan dengan parti dalam Pakatan Harapan.

Parti itu bergaduh dengan DAP dan menganggap Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai pengkhianat. Mereka hanya mempunyai hubungan dengan PKR.

Pembangkang mempunyai 15 wakil rakyat di Kedah, iaitu 8 daripada PAS, 4 PKR, 2 DAP dan seorang Amanah.

Dalam usaha membentuk kerajaan, pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 19 daripada 36 kerusi.

"Kemungkinan Kedah kembali kepada PAS itu ada, tetapi ia juga bergantung kepada sama ada PAS boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau tidak," kata Shaharuddin.






No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...