Thursday, 18 February 2016

Rahsia Tendangan Faiz Subri Terbongkar

Rahsia Tendangan Faiz Subri Terbongkar. Sepakan percuma melencong unik penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, pada aksi Liga Super malam tadi, yang kemudiannya mencuri tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia, bukan suatu kebetulan.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, sebagai penyerang, beliau gigih berlatih bagi menyempurnakan sepakan percuma, termasuk menggunakan teknik 'knuckleball' yang sedang diperkatakan di seluruh dunia.

"Sebagai penyerang, saya sentiasa berlatih mengambil sepakan percuma. Kadang kala sepakan yang diambil menepati sasaran, kadang kala tidak.

 "Ketika saya mengambil sepakan percuma malam tadi, hasrat saya cuma mahu melakukan sepakan dan menjaringkan gol," katanya pada sidang media yang diadakan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) petang ini.

"Knuckleball" merupakan salah satu teknik dalam sukan bola sepak merujuk kepada sepakan pada kelajuan yang rendah. 

Ketika sepakan terus diambil, bola berkenaan melencong ke sebelah kanan sebelum menerjah jaring menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Gol berkenaan dikatakan 'melanggar' hukum fizik sehingga mengelirukan penjaga gol dan layak dicalonkan memenangi Anugerah Puskas FIFA.

Anugerah itu diberikan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) kepada jaringan gol tercantik sepanjang tahun sejak 2009, sempena memperingati penyerang Real Madrid era 1950-an, Ferenc Puskás.

Sepakan itu juga mirip kepada teknik sepakan percuma "banana kick" yang diambil bintang bola sepak Brazil Roberto Carlos ketika pasukannya bertemu Perancis di kejohanan Tournoi de France pada 1997 (lihat video di sini).

Selain mendapat liputan media antarabangsa termasuk The Independent dan Daily Mirror di Britain dan Sydney Morning Herald di Australia, Faiz juga menjadi tumpuan di platform media social, Twitter.

Klip video gol sensasi tendangan beliau turut mencuri tumpuan di YouTube.

Agak terkejut menjadi popular dalam sekelip mata, Faiz Subri berkata beliau tidak pernah menjangkakan ia akan menjadi sensasi, walaupun mengakui ia merupakan gol terbaik beliau setakat ini.

Rahsia Tendangan Faiz Subri Tersebar

Beliau berkata ramai orang, termasuk rakan sepasukan dan kawan-kawannya, teruja melihat sepakan percuma itu malam tadi dalam perlawanan menentang Pahang yang berakhir dengan kemenangan Pulau Pinang 4 - 1.

"Saya benar-benar tidak menyangka semua ini. Saya ingat tiada apa-apa.

"Tetapi tiba-tiba heboh diperkatakan di Internet apabila saya bangun pagi ini," katanya.

Bukan seorang yang suka bermegah, Faiz Subri berkata beliau rasa sungguh bertuah dan merendah diri dengan aksinya pada perlawanan malam tadi yang dianggap orang ramai sangat hebat.

"Bagaimana saya boleh bersaing dengan Roberto Carlos. Beliau seorang legenda bola sepak.

"Anugerah Puskas? Alhamdulillah, jika saya layak memenanginya," kata pemain itu, yang masih kelihatan tidak percaya.

Sebelum bermain untuk skuad Harimau Kumbang, Faiz pernah beraksi untuk Perlis, T-Team, Kelantan dan Terengganu.

Faiz Subri, yang bercita-cita mahu menjadi seorang pemain bola sepak professional sejak di bangku sekolah rendah di Kedah, berkata beliau juga berasa berbesar hati apabila FAP mahu melelong jersi, seluar pendek, stoking dan but yang dipakainya pada perlawanan malam tadi.

Bendahari FAP, Datuk M Murly berkata, beliau akan memuat naik set lengkap yang dipakai Faiz Subri ke dalam laman sesawang rasmi pasukan itu untuk tujuan lelongan dalam talian.

Lelongan itu akan bermula minggu depan dan akan berjalan sekurang-kurangnya 2 minggu, atau mungkin lebih lama jika terdapat sambutan yang menggalakkan.

"Harga permulaan bagi keseluruhan set itu bernilai RM100,000. Setiap barangan itu ditandatangani Faiz sendiri.

"Kami mahu melakukan ini bagi mengukur sejauh mana FAP boleh meraih sokongan untuk sukan bola sepak Pulau Pinang. Sukan ini di sini tidak mendapat banyak sokongan daripada sektor swasta," katanya.

Murly turut mengulas mengenai komen yang disiarkan di media sosial terhadap sepakan percuma Faiz Subri, yang ramai mengatakan hanya disebabkan nasib.

"Jika anda menonton video sepakan percuma itu berulang kali, anda akan melihat terdapat ketepatan dalam cara beliau mengambil sepakan," katanya.

Ketua jurulatih Jackson F. Tiago berkata, Faiz Subri memang berkemampuan melakukan sepakan percuma yang cantik manakala naib presiden FAP Datuk Gary Nair berkata Faiz adalah seorang pemain serba boleh dan berbakat.

Rahsia Tendangan Faiz Subri Tersebar

Beliau berkata, ia merupakan gol tercantik yang beliau pernah saksikan, dan mengenali Faiz Subri, sepakan itu bukan satu kebetulan.

"Saya mengenalinya, dia mampu melakukannya, ia bukan satu kebetulan. Tahun lepas beliau menjaringkan beberapa gol cantik untuk Pulau Pinang tetapi ini antara jaringan tercantik.

"Beliau adalah seorang pemain yang hebat. Jika dia dibiarkan melakukan apa yang dia suka atau cuba, saya fikir dia boleh membuat keajaiban."

Presiden FAP Datuk Seri Nazir Ariff berkata persatuan itu amat berbangga dengan Faiz Subri, di mana gol itu juga menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya sepakan percuma yang sungguh cantik.

"Ia menjadi satu fenomena di seluruh dunia dalam sukan bola sepak," katanya sambil menambah keseluruhan pemain pasukan Pulau Pinang beraksi cemerlang malam tadi.

Beliau berkata reputasi bola sepak Pulau Pinang meningkat sejak 2 tahun lepas dan persatuan itu akan terus memberi motivasi kepada pemain untuk melakukan yang terbaik.

"Pemain akan terus mendapat insentif jika bermain dengan baik. Ini adalah kejayaan untuk kita semua," katanya.







Video banana kick dari Roberto Carlos..







1 comment:

  1. Tidak dinafikan gol ini memang cantik. Cuma kami amat berharap ianya bukanlah sekadar nasib atau sekadar satu kebetulan. Butikan kepada peminat2 bolasepak yang anda memang boleh melakukan tendangan sedemikian setiap kali anda berpeluang melakukan sepakan percuma selepas ini.

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...