Saturday, 20 February 2016

Berita Kecewa Buat Penentang Najib..

Pengaruh Mahathir Belum Cukup Kuat Untuk Tumbangkan Najib.. Ini Buktinya? Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mendapat sokongan mencukupi walaupun sebagai penaung sekumpulan ahli Umno memberontak bagi menggulingkan Datuk Seri Najib Razak, yang setakat ini berupaya membina sokongan kuat di sekelilingnya, kata pemerhati politik.

Mereka berkata, pengaruh negarawan bersara itu terhad, dan langkah beliau bekerjasama dengan kumpulan penentang Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), sekumpulan pemimpin Umno cawangan yang sedang mengadakan siri jelajah di seluruh negara menuntut peletakan jawatan Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri, hanya mempunyai sedikit impak.

Dr Lim Teck Ghee berkata Dr Mahathir kini sudah ke tahap akan melakukan apa saja namun langkahnya dilihat tidak berkesan kerana tiada pemimpin atasan Umno menyahut gesaan beliau.

"Ia seolah-olah Dr Mahathir akan lakukan apa saja untuk terus menekan Najib. "Bagaimanapun kerjasama Dr Mahathir-GKCM masih sebuah kumpulan kecil dengan pengaruh yang terhad.

"Beliau tidak akan mendapat banyak sokongan dalam pertarungannya menentang Najib dengan menjadi penaung kumpulan sedemikian," kata ketua Pusat Pemikir Inisiatif Dasar itu kepada The Malaysian Insider.

Lim berkata sokongan yang kuat daripada Majlis Tertinggi Umno dan jentera kerajaan yang dikuasai sepenuhnya menyukarkan kumpulan kecil seperti GKCM untuk berjaya menyingkirkan Najib.

"Jelas sekali Najib mempunyai sokongan majoriti ahli Majlis Tertinggi bersama beliau.

"Sukar untuk melihat GKCM sebagai sebuah kumpulan minoriti dapat mendesak daripada dalam supaya Najib letak jawatan.

"Malah, perdana menteri juga mengawal sepenuhnya jentera kerajaan," katanya.

Dr Mahathir selama lebih setahun ini secara terbuka mengkritik dan menggesa peletakan jawatan Najib dan berikrar tidak akan putus asa.

Isu utamanya berkenaan Najib, yang mengambil alih jawatan pada April 2009, ialah berhubung dakwaan rasuah melibatkan firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

Dr Mahathir, yang mempunyai pengaruh kuat semasa pemerintahannya selama 22 tahun, juga menuduh Najib melemahkan demokrasi melalui langkah yang dianggap bertujuan menindas pengkritik 1MDB.

Ini termasuk mereka yang di dalam Umno dan bukan hanya ahli politik pembangkang, yang membuatkan kedudukan Najib lebih kukuh, dengan pemimpin peringkat bahagian yang setia menyokongnya, kata seorang pemimpin akar umbi.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dipecat daripada Kabinet  Julai lalu kerana lantang mengkritik 1MDB.

Pengaruh Mahathir Belum Cukup Kuat Untuk Tumbangkan Najib.. Ini Buktinya?

Antara yang paling berprofil tinggi menjadi mangsa dalam keadaan ini ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, yang dipecat daripada Kabinet Najib Julai lalu.

Seorang lagi pemimpin Umno, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini ditukar sebagai menteri besar Kedah.

Mereka semua sebelum ini terlibat mengkritik Najib, 1MDB dan derma politik.

Naib Ketua Bahagian Umno Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar, juga tidak melihat Dr Mahathir akan dapat mara jauh dalam usahanya menyingkirkan Najib yang dilihat semakin kukuh.

"Yang berkuasa ketika ini ketua bahagian dan 'warlords', mereka ini masih setia dengan Najib.

"Walaupun Dr Mahathir bersama GKCM sekalipun, kedudukan Najib masih kukuh lagi," katanya.

Namun, Hamidi menyifatkan tindakan ketua bahagian tersebut hanya akan merosakkan Umno apabila berdepan pilihan raya umum (PRU) nanti yang lebih genting.

"Kedegilan ketua bahagian ini akan merosakkan Umno.

"Mereka sedar sudah tidak ada sokongan daripada rakyat dan orang Umno sendiri, tetapi disebabkan masing-masing ada kepentingan, semua takut bersuara," katanya.

Bekas ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh pula melihat Dr Mahathir mungkin merasakan akar umbi masih menyokongnya dan mahu menuntut perubahan.

"Tindakan Dr Mahathir sebagai amaran kepada Najib agar berwaspada dengan suara akar umbi.

"Dr Mahathir memihak dan menyokong kepada rakyat bawahan kerana sedar rakyat masih sayang Umno dan perlukan seseorang yang dapat membawa suara mereka ke atas," katanya.

Penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani membayangkan kesan jangka masa panjang yang bakal dialami Umno dan Barisan Nasional apabila tiba PRU kelak.

"Tindakan Dr Mahathir ini akan memberikan kesan jangka masa panjang kepada Umno dalam menghadapi PRU kelak.

"Jika situasi ini dan trend menyerang Najib berterusan, kemungkinan berlaku sabotaj dalaman Umno yang akan mengakibatkan kerajaan BN pada masa yang sama juga akan terjejas nanti," katanya.





2 comments:

  1. MONEY IS KING berjaya dalam misi nya...

    ReplyDelete
  2. CUMA RAKYAT SAJA YANG BOLEG TANGKAP NAJIB ,ZAID ,KHALID DAN FANDI PAKAT LAH BERAMAI RAMAI DAN TANGKAP BINATANG BINATANG NI

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...