Friday, 12 February 2016

Berita Sedih Buat Penyokong Pembangkang..

Berita Sedih Buat Penyokong Pembangkang. Selepas setahun perginya bekas mursyidul am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, parti yang beliau tinggalkan kini berpecah 2, Pakatan Rakyat diasaskannya bersama kini berkecai.

Hari ini, 12 Februari 2016 genap setahun Nik Aziz yang dianggap sebagai legenda PAS itu meninggal dunia. 

Bagi bekas pemimpin PAS, Nik Aziz tidak akan dilupakan sebagai tokoh penyatu dan petunjuk sebenar dalam kehidupan beragama, berpolitik dan bermasyarakat.

“Kehilangan Tok Guru Nik Aziz adalah satu kehilangan besar kepada politik Malaysia di mana beliau mempamerkan kehebatan politik Islam dan berjaya menyatukan semua orang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Bagi bekas ketua penerangan PAS itu, selepas Nik Aziz tiada, politik pembangkang seperti hilang arah dan hilang titik penyatuan dan pertemuan disebabkan perbezaan pendapat dan ideologi.

“Tok Guru pernah berjaya menyatukan PAS dengan Semangat 46, kemudian dengan PKR dan seterusnya dengan DAP.

"Pemergian beliau satu yang sangat dirasai tambahan pula dengan kehilangan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dalam tempoh yang sama iaitu setahun lalu,” kata Mahfuz merujuk kepada program peringatan setahun pemenjaraan Anwar awal minggu ini.

Sementara menurut bekas naib presiden PAS, Salahudin Ayub, pemergian Nik Aziz bermakna hilangnya sebutir permata yang selama ini banyak memandu parti Islam itu.

“Tok Guru Nik Aziz adalah tokoh yang hadir dalam karier politik saya yang banyak ajar tentang politik Islam yang menjadi sebab saya bersama Amanah (Parti Amanah Negara) hari ini,” kata timbalan presiden Amanah itu.

Sementara itu, pihak yang paling terasa dengan kehilangan Nik Aziz sejak setahun lalu ialah Pengasas Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw.

Bagi pengerusi pertama DHPP itu, perginya Nik Aziz samalah ertinya dengan tertutupnya sayap bukan Islam PAS itu.

Berita Sedih Buat Penyokong Pembangkang

“Selepas Tok Guru tiada, ia umpama menutup DHPP.

"DHPP hanya ada atas buku sahaja sekarang. Ia sudah mati dengan perginya Tok Guru Nik Aziz,” kata Hu yang memulakan karier sebagai wartawan di Kelantan.

Namun bagi mereka yang rapat dengan politik PAS di Kelantan, Nik Aziz sudah meninggalkan mereka sebaik sahaja selesainya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lagi.

“Tok Guru sebenarnya meninggalkan kita sejak berakhirnya PRU13 lagi.

"Hanya jasadnya sahaja setahun yang lalu meninggalkan kita,” kata Mohamad Khir Zahri Abdul Ghani, bekas pengarah Tabung Tok Kenali, sebuah badan ditubuhkan Nik Aziz untuk menjaga kebajikan rakyat Kelantan.

Selepas PRU13, Nik Aziz tidak lagi menjawat jawatan menteri besar Kelantan yang beliau pegang sejak berjaya memenangkan PAS bersama Semangat 46  pada1990.

Sejak tidak menjawat jawatan itu, beliau sering sakit dan banyak menghabiskan masanya di katil Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Berita Sedih Buat Penyokong Pembangkang

Bagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr Abdul Latif Ibrahim, rakyat Malaysia tidak kira apa agama atau kaum, apabila menyebut nama Nik Aziz, mereka akan  nampak ketokohan kepimpinannya.

“Beliau hidup dengan prinsip yang jelas dan tidak pernah lari dari itu. Beliau diterima sebagai pemimpin yang bersih dan hidup sederhana.

"Walaupun beliau tak sebut atau cakap tentang wasatiyyah atau kesederhanaan misalnya tetapi hidupnya menjadi contoh kesederhanaan,” kata Latif merujuk kepada kehidupan Nik Aziz yang sederhana walaupun menjadi ketua kerajaan Kelantan hampir suku abad lamanya.

Bagi pensyarah sosiopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Nik Aziz dalam sejarah politiknya tidak akan bersekongkol dengan orang yang dianggapnya ada karakter diragui.

“Sebab itu beliau tidak mahu PAS ada hubungan atau bekerjasama dengan Umno kerana beliau tidak setuju amalan rasuah para pemimpin Umno,” katanya yang pernah aktif dalam PAS sebelum ini.



Addin:

Tok Guru Nik Aziz adalah tokoh penyatu kepada parti pembangkang di Malaysia. Tanpa tokoh seperti Tok Guru, adakah pembangkang mampu memenangi PRU 14 nanti? 




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...