Thursday, 7 January 2016

Berita Gempar Dari Bauksit Kuantan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengakui wujud unsur rasuah dalam kes perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Pahang, selepas terdahulu hari ini Kabinet mengenakan 3 bulan moratorium ke atas aktiviti itu di sekitar Kuantan. 

Badan anti rasuah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil berat mengenai isu yang serius itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada.

"Sejak kebelakangan ini, SPRM menerima banyak aduan berkaitan isu pencemaran alam sekitar akibat aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Pahang.

"Berdasarkan aduan tersebut, SPRM mendapati wujud unsur rasuah dilakukan pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran bauksit berkenaan.

"SPRM memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa tersebut di bawah Akta SPRM 2009," kata SPRM.

Terdahulu pada satu sidang media hari ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan pembekuan 3 bulan ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di negeri itu bermula 15 Januari, untuk menyelesaikan masalah pencemaran.

Beliau berkata langkah itu akan dilanjutkan selama-lamanya jika industri itu gagal "membendung" masalah pencemaran dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, beliau menjangkakan semua stok simpanan bauksit akan dibersihkan dan dipindahkan ke sebuah pusat simpanan bersepadu dalam masa 3 bulan, manakala terma dan syarat baru akan dikenakan sebelum mengeluarkan permit kelulusan (AP).

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pada sidang media sama berkata, kerajaan negeri memperoleh RM46.7 juta dalam bentuk royalti daripada perlombongan bauksit pada tahun lepas, berbanding RM2.4 juta pada 2014.

Beliau turut ditanya sama ada akan membuat laporan kepada SPRM berhubung kewujudan pelombong bauksit haram di negeri itu.

Katanya, itu tugas badan tersebut, menegaskan: "Itu kerja SPRM. Biar mereka buat kerja mereka. Saya tidak perlu datang buat laporan. Mereka SPRM, merekalah yang perlu datang dan pantau keadaan."

Perlombongan bauksit yang berleluasa dipersalahkan kerana menjadikan sungai dan pantai di Kuantan bertukar merah selepas hujan lebat selama dua hari awal minggu lalu. 

Sejak Kuantan meningkatkan aktiviti itu bagi tujuan eksport bauksit ke China tahun lepas, penduduk di kawasan itu mengadu mengenai pencemaran yang disebabkan debu merah dari perlombongan dan kebocoran dari lori mengangkut bauksit ke pelabuhan Kuantan. 

Dalam tempoh 11 bulan pertama 2015, Malaysia dilaporkan mengeksport lebih 20 juta tan bauksit ke China, meningkat hampir 700% daripada tahun sebelumnya.

Pada 2013, ia hanya mengeksport sekitar 162,000 tan metrik




2 comments:

  1. Adnan tutup mata ja.
    boleh pulak hari kata ada penduduk yg mahukan projek tersebut
    sedangkan pencemarannya makin teruk

    ReplyDelete
  2. Dalam kubur jawab laa kat malaikat

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...