Wednesday, 13 January 2016

Tembelang Najib Terbarai Lagi..

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab atas kegagalan Malaysia terus berdaya tahan di tengah-tengah kejatuhan ekonomi, terutama selepas meraih keuntungan daripada harga minyak yang tinggi pada tahun sebelumnya, kata DAP.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pengakuan Najib negara berdepan cabaran situasi ekonomi menunjukkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) iaitu inisiatif yang dilaksanakan pentadbirannya tidak mencapai sasaran.

“Ironinya, pengakuan Najib kita semua bergantung harap kepada harga minyak dunia dan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) membuktikan pencapaian ekonomi moderat kita ketika kepimpinannya tercapai sebagai kesan harga minyak sangat tinggi dan kadar faedah dunia terlalu rendah, dan bukan kerana pengurusan ekonominya.

“Apa berlaku kepada semua lebihan pendapatan ketika pentadbiran Najib bila harga minyak naik melebihi AS$100 per tong?

“Keuntungan berlebihan yang kita nikmati pada tahun cemerlang sepatutnya disimpan secukupnya atau dilaburkan bagi memastikan kita mempunyai simpanan untuk bertahan dalam sebarang kejatuhan harga minyak atau ekonomi dunia perlahan,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, tahun sebelum 2007 iaitu ketika Najib belum ambil alih jawatan menteri kewangan pada 2008, harga minyak mentah kurang daripada AS$25 setong, tetapi ia tidak menghalang pencapaian ekonomi Malaysia.

Pua berkata Najib memetik peningkatan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat ialah antara faktor luaran mempengaruhi ekonomi negara sedangkan langkah itu sudah diramalkan berlaku 3 tahun lalu.

“Ia benar-benar menggelikan hati. Najib patut bersyukur dia ada tambahan 3 tahun untuk ‘menyediakan’ negara menghadapi kesan kenaikan kadar faedah AS,” katanya.

Pua berkata krisis ekonomi bertambah teruk dengan hutang  RM50 bilion oleh Kementerian Kewangan yang memiliki syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal RM2.6 bilion di dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

“Tiada siapa menafikan hakikat faktor tertentu memang di luar kawalan Malaysia.

“Namun, keadaan ekonomi teruk sekarang sebahagian besarnya diburukkan lagi dengan kegagalan, kelemahan, kesilapan dan salah guna pentadbiran Najib,” katanya.

Pada Isnin, Najib berkata faktor luaran seperti harga minyak dunia, kenaikan kadar faedah AS dan ekonomi China yang perlahan, antara penyebab Malaysia terpaksa meramalkan akan berdepan cabaran ekonomi.


1 comment:

  1. NAJIB PENGKHIANAT NEGAR ,ANAK BANGSA DAN AGAMA

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...