Sunday, 3 January 2016

Tamparan Hebat Buat Amanah

Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan laporan semalam yang menyatakan beliau kini menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), lapor Sinar Harian hari ini.

Walaupun diumumkan pelantikan beliau sebagai pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan pada satu majlis di Petaling Jaya pada 1 Januari, Nik Omar berkata beliau tidak terlibat dengan parti serpihan PAS itu.

"Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain," katanya dipetik sebagai berkata kepada akhbar itu.

Enggan mengulas lanjut, anak kedua Nik Aziz itu bagaimanapun dilaporkan tidak menolak kewujudan pelbagai parti, termasuk Amanah, dalam sistem politik tanah air.

Katanya kepada Sinar Harian, beliau lebih memilih ke arah satu gagasan penyatuan ummah dengan masing-masing membawa pendekatan meraikan satu sama lain.

Jumaat lalu, The Malaysian Insider melaporkan Nik Omar diisytiharkan sebagai salah seorang pemimpin Amanah negeri pada satu majlis makan malam Amanah Kelantan yang diadakan di Dewan Sivik, Petaling Jaya.

Ditanya adakah bermaksud menolak pelantikan itu, beliau yang juga pengetua Maahad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka, Kelantan berkata kepada akhbar itu, beliau tidak terlibat sama sekali.

Sinar Harian turut melaporkan, pelantikan Nik Omar diumumkan Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin.

Pada masa sama, beliau turut menyangkal dakwaan mengatakan beliau menyertai parti tersebut menggunakan nama samaran.

Sebelum ini, Nik Omar pernah dikaitkan dengan Amanah setelah beberapa kali menghadiri majlis anjuran parti itu beberapa bulan lalu.


No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...