Tuesday, 19 January 2016

Tembelang SPRM Terbarai Lagi?

Sarawak Report Dedah Tembelang SPRM?Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan laporan portal Sarawak Report yang kertas siasatannya mengenai SRC International dan "derma" RM2.6 bilion memasukkan 37 syor dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia juga mengesahkan menerima kertas siasatan yang dikembalikan Jabatan Peguam Negara kepada mereka.

"SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang dikemukakan SPRM sebelum ini.

"Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat," kenyataan ringkas SPRM dipetik.

"SPRM ingin menjelaskan laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan dikemukakan oleh SPRM terhadap Najib melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar," kata kenyataan itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mahu penjelasan lanjut daripada SPRM.

Sarawak Report Dedah Tembelang SPRM?

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan tersebut, jabatan ini pada hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan pihak SPRM," kata kenyataan 3 perenggan itu.

"Jabatan ini juga mengarahkan agar kertas-kertas siasatan tersebut dikembalikan dalam masa terdekat."

Pada 31 Disember, SPRM berkata ia sudah menghantar kertas siasatan itu kepada peguam negara selepas mengambil keterangan hampir 100 individu termasuk penderma RM2.6 bilion.

SPRM bertanggungjawab menyiasat dana RM4 bilion daripada SRC, dan bukan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diilhamkan Najib.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengecam Apandi dengan meramalkan beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap siasatan SPRM itu.

Apandi membidas Dr Mahathir dengan berkata beliau akan membuat keputusan tanpa takut dan pilih kasih.




No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...