Tuesday, 5 January 2016

Pendedahan Mengejutkan Isu Pelombongan Bauksit Di Kuantan

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyifatkan Kerajaan Pahang tidak melindungi rakyat kerana gagal menghentikan kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan.

Katanya, kerajaan negeri tidak tegas mengambil tindakan undang-undang terhadap pelombong bauksit dan pihak yang terlibat dengan kegiatan itu.

“Kerajaan negeri ada kuasa yang amat besar untuk ambil tindakan. Namun yang menjadi persoalan kenapa penguatkuasa dan agensi terlibat gagal mengawalnya.

“Kerajaan negeri harus tegas, pastikan ada penguatkuasaan agar perkara ini tidak berlaku. Ini tidak dibuat dan seolah-olah ludah kelangit,” katanya kepada FMT di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah supaya rakyat terus berjuang untuk menghentikan aktiviti bauksit di daerah itu.

Fuziah turut menyambut baik saranan Tengku Puan Pahang terhadap isu bauksit dan berpandangan beliau prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.

Katanya, langkah sebaiknya yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri adalah dengan menggantung semua lesen mengeksport bauksit menerusi Pelabuhan Kuantan.

“Dengan langkah itu akan menyebabkan operasi bauksit akan terjejas disebabkan mereka tidak akan dapat mengeksport lagi bauksit itu kerana lesen sudah digantung,” tegasnya.

Beliau juga berharap kerajaan negeri akan lebih bertanggungjawab dalam melindungi rakyat daripada masalah itu.

“Kalau rakyat tak ada kekuatan untuk lawan, kerajaan negeri yang harus lindungi mereka,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Puan Pahang menzahirkan rasa dukacita terhadap pencemaran akibat aktiviti bauksit di daerah Kuantan.

Beliau membuat kenyataannya itu menerusi laman sosial instagramnya @tengku_puan_pahang, Tunku Azizah dan memuat naik beberapa status berhubung perkara tersebut.



2 comments:

  1. "Katanya, langkah sebaiknya yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri adalah dengan menggantung semua lesen mengeksport bauksit menerusi Pelabuhan Kuantan."

    Lesen Diraja... berani ke nak gantung??

    ReplyDelete
  2. Akan digantung di dunia satu lagi, jangan bimbang!

    ReplyDelete

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...